Jaket kuning Perancis bertempur dengan polis untuk minggu ke-13

Astro Awani
Februari 10, 2019 12:30 MYT
Penunjuk perasaan memakai jaket kuning semasa mengambil bahagian dalam demonstrasi oleh pergerakan 'jaket kuning' di Paris, Perancis, 9 Feb, 2019. REUTERS
Seorang penunjuk perasaan yang mengambil bahagian dalam demonstrasi di Paris cedera teruk di tangan ketika perhimpunan menjadi tidak terkawal apabila mereka cuba merempuh Parlimen Perancis pada Sabtu.
Polis berkata, penunjuk perasaan itu hilang empat jarinya ketika bertempur dengan polis yang bertindak balas menghentikan kumpulan itu daripada merempuh bahagian luar parlimen.
Polis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan media Perancis yang mengatakan tangan penunjuk perasaan itu telah terkena letupan bom tangan yang digunakan untuk mengawal keadaan rusuhan.
Penunjuk perasaan itu ketika ini dirawat di hospital.
Perhimpunan kumpulan jaket kuning ini telah berlangsung selama 13 minggu berturut-turut.
Ketika rusuhan terjadi di hadapan bangunan Parlimen itu, polis Perancis menggunakan gas pemedih mata dan anggota paramedik dilihat memberi bantuan kepada penunjuk perasaan yang cedera.
Polis turut menggunakan baton untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang dilihat melempar objek kepada polis.
Kereta, basikal dan tong sampah dibakar sambil penunjuk perasaan bergerak ke arah bangunan monumen Invalides dan Menara Eiffel di bandar raya itu.
Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner menggunakan Twitter untuk menyatakan rasa marahnya terhadap penunjuk perasaan yang dilihat cuba membakar kenderaan tentera.
#demonstrasi #Emmanuel Macron #jaket kuning #Paris #Perancis #perhimpunan #tunjuk perasaan
;