Jakarta terputus bekalan elektrik besar-besaran, ramai 'naik angin'
Astro Awani
Ogos 4, 2019 18:17 MYT
Ogos 4, 2019 18:17 MYT
Apa yang berlaku?
Jakarta, wilayah yang dihuni warga yang populasi sebesar negara Malaysia, hari ini mengalami gangguan elektrik besar-besaran.
Berdasarkan pemerhatian kru Astro AWANI di Jakarta, keadaan berlaku sekitar pukul 11.50 pagi waktu Jakarta (12.50 tengahari waktu Malaysia).
Mujur keadaan berlaku pada hari Ahad. Ibu kota Indonesia ini tidak sesibuk hari-hari bekerja.
Apa impaknya?
Bagi warga kepulauan Jawa dan pelancong asing, keadaan ini bermakna rutin kehidupan terganggu seketika.
Bagi mereka yang berada di dalam komuter dan MRT, mereka terperangkap dan tiada cara lain selain terpaksa keluar dari pengangkutan awam itu. Itulah yang berlaku di beberapa laluan MRT Bendungan Hilir-Istora, Istora-Bendungan Hilir, Lebak Bulus-Fatmawati and Fatmawati-Lebak Bulus.
Bagi pelancong asing dan domestik yang menginap di hotel-hotel besar di Jakarta, koridor hotel tidak cerah seperti biasa. Dalam tempoh sejam, nak ‘Google’ pun tidak boleh. Hotel-hotel ketika ini terpaksa bergantung kepada generator.
Warga kepulauan Jawa yang terkesan segera berkongsi rasa di media sosial dengan pelbagai hashtag. Antaranya #MatiLampu, #JakartaBlackout. Tidak kurang juga yang melihat sisi positif kepada alam sekitar dengan menganggap senario ini sebagai momen Earth Hour.
Apa puncanya?
Syarikat bekalan tenaga elektrik Indonesia, PLN memaklumkan ‘blackout’ ini berpunca daripada masalah yang berlaku di loji jana kuasa 500 KV 1 di Jakarta.
Berdasarkan perincian, bekalan elektrik terputus selepas ada masalah pada gas turbin 1 hingga 6 dan gas turbin 7 terpaksa dimatikan.
Ada wilayah lain yang terkesan?
Selain Jakarta, wilayah di Jawa Barat juga terpaksa bergelap. Antaranya Bandung, Bekasi, Cianjur, Cimahi, Cirebon, Garut, Karawang, Purwakarta, Majalaya, Sumedang, Tasikmalaya, Depok, Gunung Putri, Sukabumi dan Bogor.
Bila keadaan pulih sepenuhnya?
Sehingga saat ini, pihak berkuasa terlibat sedang berusaha memulihkan keadaan.
Tiada tempoh masa yang jelas digariskan tetapi PLN telah melaksanakan sesuatu yang penting di peringkat ini — mereka memohon maaf kepada semua penduduk yang terlibat.
#blackout
#Earth Hour
#gangguan elektrik besar-besaran
#Jakarta
#Jakarta blackout
#Jakarta gangguan elektrik
#terputus bekalan elektrik