Jakarta sedia jadi pengantara penyelesaian konflik Ukraine-Rusia - Menteri Pertahanan Indonesia

Bernama
Jun 27, 2023 20:27 MYT
Prabowo Subianto berkata Indonesia menghormati sepenuhnya perundangan antarabangsa dan dasar luar negara berkenaan.
MOSCOW: Indonesia bersedia menjadi pengantara dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata antara Ukraine dan Rusia dengan memberi cadangan yang boleh dilaksanakan, kata Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, lapor Sputnik.
"Dengan persetujuan kedua-dua pihak, kami bersedia untuk menjadi pengantara konflik. Kami akan terus berusaha untuk memberi cadangan yang boleh dilaksanakan," kata Subianto dipetik Agensi Berita Antara selepas pertemuan dengan Presiden Joko Widodo pada Isnin.
Menteri pertahanan itu berkata Indonesia menghormati sepenuhnya perundangan antarabangsa dan dasar luar negara berkenaan.
"Kami berusaha untuk mengekalkan hubungan mesra dengan semua pihak dan kami secara konsisten cuba menjadi orang tengah," kata Subianto.
Pada awal Jun, Indonesia mencadangkan pelan damai untuk konflik Ukraine yang akan mewujudkan zon bebas tentera yang serupa dengan Korea Utara dan Korea Selatan.
Jakarta juga mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganjurkan referendum di wilayah yang dipertikaikan untuk memastikan secara objektif hasrat penduduk dan Indonesia bersedia untuk menyediakan pemerhati serta unit tentera di bawah naungan pengaman PBB.
-- BERNAMA
#Ukraine #Rusia #pengantara #Indonesia #konflik
;