Jakarta: Penumpang MRT dilarang bersembang, bercakap guna telefon bimbit
Bernama
Jun 1, 2020 18:30 MYT
Jun 1, 2020 18:30 MYT
Pengguna perkhidmatan pengangkutan MRT di Jakarta, dilarang bersembang dengan penumpang lain atau berbual menggunakan telefon bimbit, bagi menangani penularan pandemik COVID-19.
"Seperti yang diketahui bahawa COVID-19 umumnya dapat ditularkan melalui titisan air liur yang dihasilkan ketika orang yang dijangkiti batuk, bersin, atau berbicara," menurut ciapan instagram rasmi syarikat pengendali MRTJakarta, PT Moda Raya Transportasi Jakarta, di akaun instagram rasminya@mrtjkt, hari ini.
MRT Jakarta, mercu baharu pengangkutan Jakarta itu mula beroperasi pada 24 Mac 2019, sebelum ini turut menguatkuasakan had jumlah penumpang lebih dari separuh kapasiti tren, jarakan sosial serta pemakaian pelitup muka, sejak Mac lepas.
Sementara itu menurut media tempatan, syarikat pengendali komuter PT Kereta Commuter Indonesia (KCI), juga dijangka melaksanakan arahan dan peraturan yang sama (larangan berbual di dalam komuter).
Pemerintah Jakarta dijangka memperkenalkan beberapa protokol baharu, dalam pelaksanaan normal baharu bermula 5 Jun ini, antaranya dijangka melonggarkan beberapa peraturan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun ini, bagi membenarkan kembali beberapa aktiviti sosio-ekonomi.
Sehingga kini, kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 26,940 kes, dengan kematian kini berjumlah 1,641orang.
Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 467 tambahan kes positif baharu, manakala sebanyak 28 lagi kematian, berlaku dalam tempoh berkenaan.
"Ketika ini juga seramai 13,120 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya dalam sidang media hariannya, yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 518 kes, diikuti Jawa Timur (412 kes), Jawa Barat (144) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
-- BERNAMA