Jakarta larang guna e-skuter di sekitar bandar susulan kemalangan maut

Agensi
November 15, 2019 08:38 MYT
Grab Indonesia yang mengusahakan perkhidmatan sewa e-skuter mengeluarkan permohonan maaf susulan kejadian yang menimpa mangsa. Gambar hiasan
Jakarta mengeluarkan larangan penggunaan skuter elektrik atau e-skuter di sekitar jalan-jalan utama bandar raya itu susulan kematian dua penggunanya dalam kemalangan awal minggu ini.
Agensi Pengangkutan Jakarta kini sedang merangka peraturan bagi memastikan keselamatan pengguna, kata ketuanya, Syafrin Liputo, lapor Jakarta Post.
Perkhidmatan kenderaan itu menerima kecaman hebat selepas dua penggunanya dirempuh kereta berhampiran pusat beli belah Gelora Bung Karno (GBK) di pusat bandar Jakarta pada pagi Isnin.
Kemalangan itu sekali gus memaksa satu pertemuan diadakan antara agensi itu dan wakil daripada Grab Indonesia dalam usaha membincangkan operasi e-skuter.
Sementara itu, Grab Indonesia yang mengusahakan perkhidmatan sewa e-skuter mengeluarkan permohonan maaf susulan kejadian yang menimpa mangsa.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa yang berusia 18 tahun, Wisnu dan Ammar, menyewa tiga e-skuter bersama empat lagi rakan mereka - Fajar Wicaksono, Bagus, Wulan dan Wanda, yang turut cedera.
“Kami berenam menyewa tiga e-skuter sekitar pukul 1 pagi. Semasa menunggang, e-skuter yang dinaiki Ammar dan Wisnu kehabisan bateri.
“Mereka kemudiannya menukar skuter dengan Bagus dan Wanda yang naik bersama-sama,” kata Fajar kepada Kompas.com.
Mereka kemudiannya menghala semula ke FX Sudirman, lokasi penyewaan, sebelum dirempuh sebuah kereta Toyota Camry.
“Bagus tercampak sekitar 10 ke 15 meter. Saya tinggalkan skuter untuk bantu mereka. Bagus sedar, namun tidak mampu gerakkan tangan kiri dan pergelangan kaki,” tambahnya.
Fajar berkata, dia kemudiannya memeriksa Ammar dan Wisnu yang tercampak agar jauh dan mendapati mereka tidak sedarkan diri.
Pemeriksaan hospital mendapati Ammar cedera parah pada bahagian kepala dan tulang belakang manakala Wisnu cedera pada bahagian kepala dan belakang badan
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia.
#e-skuter #grab #Hospital #Indonesia #kemalangan #kematian #larang #meninggal dunia #permohonan maaf #skuter elektrik
;