Jakarta dilanda banjir, hujan lebat dijangka berterusan beberapa hari lagi

Bernama
Januari 1, 2020 13:29 MYT
Hujan lebat di Jakarta diramalkan berterusan sehingga tiga hari akan datang dan dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan banjir. - Gambar Twitter TMC POLDA METRO JAYA
Beberapa kawasan di Jakarta hari ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam.
Beberapa jalan raya utama di ibu kota Jakarta dinaiki air sehingga satu meter dan pihak berkuasa turut menutup bekalan elektrik di kawasan tertentu bagi memastikan keselamatan penduduk.
Perkhidmatan komuter dan kereta api turut terjejas akibat landasan ditenggelami air sehingga lebih satu meter.
Menurut Twitter rasmi Traffic Management Center (TMC) Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), kawasan yang dilanda banjir adalah di Jakarta Selatan, Jakarta Pusat dan Jakarta Timur.
Menurut kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia ( BNPB), selain Jakarta, kota berhampiran Jakarta seperti Bekasi, Tangerang dan Depok, turut mengalami banjir terutamanya membabitkan kawasan penempatan yang rendah.
Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat di Jakarta diramalkan berterusan sehingga tiga hari akan datang dan dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan banjir.
Menurut media tempatan, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur juga tidak dapat beroperasi sejak pagi tadi berikutan landasan di lapangan terbang itu digenangi air.
Pengurus Besar Eksekutif Bandara Halim Perdanakusuma, Nandang Sukarna berkata, semua penerbangan pagi ini dialihkan ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. - BERNAMA
#Indonesia #Jakarta #Jakarta dilanda banjir #Polis Daerah Metro Jaya
;