Jakarta atasi Tokyo sebagai kota raya paling padat di dunia menjelang 2030

Bernama
Oktober 4, 2018 18:51 MYT
Jakarta akan menjadi kota raya yang pertama memegang gelaran kota raya terbesar dunia dengan 35.6 juta penduduk pada 2030. - Gambar fail
IBU NEGARA Indonesia, Jakarta, akan mengatasi Tokyo sebagai kota raya yang paling padat penduduk di dunia menjelang 2030, menurut satu laporan -- Megacities: Developing Country Domination -- yang dikeluarkan oleh Euromonitor International.
Euromonitor International dalam satu kenyataan berkata ini menandakan era baharu dalam sejarah bandar kerana Jakarta akan menjadi kota raya yang pertama memegang gelaran kota raya terbesar dunia dengan 35.6 juta penduduk pada 2030.
Tokyo - ibu kota Jepun - akan kehilangan kedudukan yang dipegangnya sejak 1950-an dengan berkurangan dua juta penduduk akibat fenomena penuaan yang berlaku di negara-negara maju
"Beberapa bandaraya Asia Timur yang lain juga terkesan akibat trend penuaan. Seoul, ibu kota Korea Selatan, akan mempunyai tambahan 2.5 juta penduduk berumur lebih 65 tahun antara 2017-2030, diikuti Shanghai, China dengan 2.2 juta dan Beijing, ibu negara China dengan 1.8 juta, "kata penganalisis kanan bandaraya di di Euromonitor International, Fransua Vytautas Razvadauskas.
Data Euromonitor International menunjukkan bahawa 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dijangka disumbangkan oleh kota raya kerana 60 peratus daripada populasi dunia akan berpusat di kota pada 2030.
Walaupun terdapat perubahan dalam landskap kota raya, pasaran pengguna utama masa depan masih terletak di kota raya negara maju, menjamin pendapatan yang lebih tinggi seiring dengan perumahan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur pengangkutan yang lebih maju, "tambah Razvadauskas.
Euromonitor International adalah syarikat penyelidikan pasaran global yang menyediakan perisikan perniagaan global dan analisis pasaran strategik. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.euromonitor.com.
-- BERNAMA
#Jakarta #Penduduk #populasi terpadat #Tokyo
;