Jadual diawalkan, 29 penumpang Scoot terlepas penerbangan
Agensi
Januari 19, 2023 19:20 MYT
Januari 19, 2023 19:20 MYT
KUALA LUMPUR : Hampir 30 penumpang yang sepatutnya menaiki pesawat menuju ke Singapura dari India, terlepas penerbangan mereka pada Rabu.
Situasi itu berlaku selepas jadual pesawat yang sepatutnya dinaiki mereka diawalkan akibat masalah cuaca.
Memetik laporan Channel News Asia (CNA), pesawat TR509 milik Scoot sepatutnya berlepas dari Amritsar, India pada jam 7.55 petang, bagaimanapun diawalkan pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.
"29 penumpang terkesan dengan perubahan ini, dan mereka telah dimaklumkan pada 15 Januari menerusi emel dan mesej, yang mana turut disertai butiran panggilan," kata Scoot dalam kenyataannya.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan penumpang meluahkan rasa kecewa dan marah dengan situasi itu.
Mereka mendakwa tidak dimaklumkan mengenai penjadualan semula berkenaan dan telah memfailkan aduan kepada pihak berkuasa.
Pihak lapangan terbang bagaimanapun memberitahu, situasi berkenaan berlaku kerana penumpang terlibat itu tidak dimaklumkan oleh ejen mereka mengenai perubahan jadual penerbangan berkenaan.
Direktorat Penerbangan Awam India telah diarahkan untuk menyiasat insiden berkenaan.
Scoot dalam masa sama turut memohon maaf atas kejadian itu.
"Pihak kami sedang giat memberi bantuan sewajarnya kepada pelanggan yang terjejas," petik kenyataan syarikat penerbangan itu lagi.
Pada awal bulan, situasi sama berlaku kepada 55 penumpang lain di India, yang mana pesawat yang sepatutnya dinaiki berlepas ketika penumpang masih dalam perjalanan ke lapangan terbang.
Mereka bagaimanapun diberikan pampasan tiket penerbangan percuma laluan domestik.