Jadi pasangan bilionair Jepun ke bulan, sudah ada lebih 20,000 permohonan!
Agensi
Januari 21, 2020 11:22 MYT
Januari 21, 2020 11:22 MYT
Masih ingat pada tawaran bilionair Jepun, Yusaku Maezawa, yang mahu mencari teman wanita untuk dibawa dalam ekspedisi angkasa lepas mengelilingi bulan?
Menurut syarikat perkhidmatan penstriman AbemaTV, setakat ini sudah lebih 20,000 permohonan diterima!
Maezawa, yang bakal menjadi penumpang pertama dalam pesawat angkasa SpaceX milik hartawan Elon Musk, sebelum ini telah mencetuskan ‘gempar’ di media sosial apabila menghadiahkan sejumlah AS$9 juta kepada 1,000 pengikut Twitter terpilih.
Kekecohan dalam dunia maya itu ditambah pula apabila Maezawa mebuat pengumuman untuk mencari teman hidup untuk dibawa bersama dalam ekspedisi mengelilingi bulan bersamanya.
Dalam laman web permohonan tersebut, calon-calon yang menyimpan harapan tinggi perlu melalui ‘ujian diagnostik’ iaitu mereka diuji sama ada mempunyai keserasian dengan Maezawa.
Antara soalan yang diberikan adalah: “Jika anda menaiki jet peribadi, ke mana anda hendak pergi?” dan “Jika Maezawa ‘melepaskan angin’ di hadapan anda, apa yang anda akan katakan?”
Calon-calon yang mengikuti ujian itu menerima pelbagai memek muka Maezawa, dari senyum hingga ke wajah sedih, bergantung kepada jawapan yang diberikan.
AbemaTV, yang disokong agensi iklan dalam talian CyberAgent dan stesen penyiar TV Asahi, merupakan salah satu pengendali program realiti temu janji terkemuka.
Maezawa terlibat secara langsung dalam program realiti "Full Moon Lovers" tersebut, yang bertujuan menjana trafik media sosial seterusnya menyasarkan penonton daripada golongan muda untuk tidak menonton televisyen.
Pada masa ini, tidak banyak stesen penyiaran Jepun yang agresif menawarkan khidmat penstriman walaupun perbelanjaan iklan telah beralih ke medium dalam talian.
#bilionair jepun
#Elon Musk
#jelajah angkasa lepas
#keliling bulan
#pasangan hidup
#SpaceX
#yusaku maezawa