Jacob Zuma, presiden penuh kontroversi

Agensi
Februari 15, 2018 08:03 MYT
Zuma pernah ditangkap pada 1963 dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun di Robben Island kerana berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Apartheid di Afrika Selatan. - Gambar fail
Jacob Zuma atau nama penuhnya Jacob Gedleyihlekisa Zuma dilahirkan pada 12 April, 1942 di Nkandla, KwaZulu-Natal, Afrika Selatan.
Zuma merupakan Presiden Afrika Selatan yang keempat bermula pada 2009 sehingga 14 Februari, 2018.
Beliau pernah memegang portfolio Timbalan Presiden Afrika Selatan dari 1999 hingga 2005, menjadi Timbalan Presiden Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pada 1997-2007 dan presiden ANC pada 2007-2017.
Beliau merupakan seorang presiden yang penuh kontroversi di Afrika Selatan sejak pemerintahan putih-minoriti berakhir pada 1994.
Tidak pernah menerima pendidikan secara formal, Zuma menyertai ANC pada 1959 dan sayap tenteranya “Spear of the nation” pada 1962.
BACA: Presiden Afrika Selatan sedia berundur
BACA: Jacob Zuma diberi tempoh 48 jam untuk letak jawatan
BACA: Terpalit skandal rasuah, Presiden Afrika Selatan letak jawatan
Zuma juga pernah ditangkap pada 1963 dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun di Robben Island kerana berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Apartheid di Afrika Selatan.
Pada 1991, Zuma dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung ANC dan seterusnya pada 1994, beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif untuk hal ehwal ekonomi dan pelancongan wilayah KwaZulu-Natal.
Pada Disember 1997, beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden ANC, dan pada Jun 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden negara itu oleh Presiden Thabo Mbeki.
#Afrika Selatan #ANC #apartheid #Jacob Zuma #letak jawatan #Thabo Mbeki
;