'Jack the Ripper Thailand' berjaya diberkas

Agensi
Disember 19, 2019 11:16 MYT
Somkid Pumpuang ditahan ketika berada di dalam kereta api. -Foto AP/ Royal Thai Police
Pembunuh bersiri yang dikenali sebagai "Jack The Ripper Thailand" berjaya ditangkap pada Rabu selepas pihak berkuasa melancarkan pemburuan besar-besaran di seluruh Thailand sejak Ahad.
Somkid Pumpuang, 55, ditahan ketika berada di dalam kereta api selepas dikenal pasti sebagai suspek pembunuhan seorang wanita bernama Rasamee Mulichand, 51, di rumahnya di Khon Kaen.
Mangsa ditemukan mati dalam keadaan lehernya dijerut dan pergelangan kakinya diikat menggunakan kabel pengecas telefon bimbit.
Hasil soal siasat dan keterangan saksi, polis mengesyaki Somkid terlibat dengan pembunuhan tersebut sebelum waran tangkap ke atasnya dikeluarkan.
Sebelum ini, Somkid dibebaskan daripada hukuman penjara seumur hidup pada Mei lalu setelah mendapat pengampunan Diraja selepas disabit bersalah membunuh sekurang-kurangnya lima pekerja seks di pusat karaoke dan rumah urut di Mukdahan, Lampang, Udon Thani dan wilayah Buriram.
Somkid menjalani 14 tahun penjara sebelum dibebaskan pada awal Mei.
Menurut polis, Rasamee dibunuh dengan cara sama di mana Somkid mengadakan hubungan seks sebelum mencekik atau melemaskan mereka.
Pembunuhan Rasamee berlaku hanya tujuh bulan selepas Somkid dibebaskan.
#Jack The Ripper Thailand #mangsa #polis #Somkid Somkid #Thailand #wanita
;