Jack Lew Setiausaha Perbendaharaan baru Obama
Astro Awani
Januari 10, 2013 07:13 MYT
Januari 10, 2013 07:13 MYT
Ketua Turus Kakitangan White House, Jack Lew dinamakan sebagai Setiausaha Perbendaharaan oleh presiden Barack Obama.
Menurut Obama, Lew dipilih kerana beliau seorang yang boleh dipercayai selain berpengalaman luas sebagai perancang dasar ekonomi.
Pengumuman mengenai pencalonan Lew dibuat di White House.
Segelintir pemimpin Republikan kecewa dengan kebolehan Lew yang tidak berjaya dalam rundingan berhubung isu tebing fiskal yang mengancam ekonomi negara itu.
Jika Lew dilantik beliau sudah pasti berdepan tugas sukar meyakinkan sesetengah pemimpin Republikan mengenai isu tersebut.
Pencalonan Lew merupakan perubahan keempat dilakukan Obama selepas dipilih semula pasca pilihan raya presiden November 2012.
Obama sebelum ini menamakan senator Massachusett John Kerry untuk jawatan Setiausaha Negara dan bekas senator Chuck Hagel mengetuai Pentagon.
Manakala, Penasinat Tangani Keganasan White House John Brennan dinamakan untuk jawatan tertinggi Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Selain menamakan Lew, Setiausaha Perbendaharaan yang lama, Timothy Geithner turut diraikan di majlis berkenaan.
Obama semasa ucapannya menyifatkan persaraan Geithner sebagai satu kerugian kepada pentadbirannya.