Jacinda Ardern lantik beberapa menteri Maori dalam barisan Kabinet baharu

Khairunnisa Kasnoon
November 2, 2020 18:59 MYT
Ardern membuat beberapa pembaharuan ketika mengumumkan barisan Kabinet baharunya pada Isnin.
WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan barisan Kabinet baharunya selepas Parti Buruh menang besar dalam pilihan raya bulan lalu.
Ardern melantik Grant Robertson sebagai timbalannya, menggantikan Winston Peters yang tewas dalam pemilihan semula.
Robertson turut diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan yang digalasnya sebelum ini.
Selain itu, Ardern turut melantik beberapa menteri daripada kaum peribumi Maori termasuk Nanaia Mahuta sebagai Menteri Luar dan Kelvin Davis sebagai Menteri Kanak-Kanak.
"Nanaia Mahuta akan menjadi Menteri Luar Negeri kita. Beliau berpengalaman sebagai Menteri Perdagangan semasa Kabinet terdahulu. Beliau juga wanita pertama dalam sejarah negara yang memegang portfolio berkenaan," kata Ardern.
Dalam pada itu, Davis bagaimanapun menolak peranan menteri bagi memberi fokus kepada tanggungjawabnya yang lain.
"Kerajaan ini mempunyai kepentingan kepada Maoridom (kaum Maori). Kami sangat bangga berada di sini, mewakili Maori dan seperti yang anda lihat, portfolio kami sangat pelbagai dan kami menjadi sebahagian daripada pemerintah.
"Saya sangat gembira dengan peranan ini tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dijalankan di Maoridom," ujar Davis.
Menurut Ardern, semua jawatan diberikan berdasarkan prestasi.
Pada pilihan raya 17 Oktober lalu, Parti Buruh menang dengan majoriti mutlak di Parlimen, kali pertama sejak New Zealand melaksanakan sistem pengundian berkadar 24 tahun lalu.
Parti Buruh bagaimanapun menandatangani perjanjian kerjasama dengan Parti Hijau pada Ahad, yang membawa kerjasama kedua-dua pihak dalam isu iklim, persekitaran dan kesejahteraan anak.
Dua penggubal undang-undang Parti Hijau diberi peranan menteri di luar Kabinet.
Ardern menurunkan pangkat beberapa menteri yang dianggap berprestasi rendah semasa penggal pertamanya, termasuk Phil Twyford, yang kehilangan portfolio pengangkutannya.
Twyford akan kekal sebagai menteri peringkat rendah di luar Kabinet.
#New Zealand #Perdana Menteri #Parlimen #pilihan raya #kabinet #Jacinda Ardern #Maori #kaum maori
;