Jacinda Arden batal perkahwinan sendiri susulan sekatan COVID-19 baharu
Astro Awani
Januari 23, 2022 10:05 MYT
Januari 23, 2022 10:05 MYT
SYDNEY: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden mengumumkan pembatalan upacara perkahwinan, termasuk majlisnya sendiri, susulan sekatan COVID-19 baharu yang dilaksanakan di negara itu.
Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan mengehadkan perhimpunan orang awam berkuat kuasa 23 Januari selepas sembilan kluster penularan tempatan membabitkan varian Omicron dikesan.
Kesemua kluster itu merupakan penularan tempatan yang tercetus ketika menghadiri upcara perkahwinan.
Sebuah keluarga dilaporkan telah menaiki pesawat dari ibu negara Pulau Utara, Auckland bagi menghadiri upacara perkahwinan di Pulau Selatan yang turut dihadiri 100 tetamu.
Kesemua ahli keluarga tersebut bersama seorang pramugara didapati positif COVID-19.
New Zealand bakal beralih kepada fasa merah dalam langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dilaksanakan kerajaan.
Arden berkata, di bawah fasa ini, pemakaian pelitup muka diwajibkan serta perhimpunan awam dalam bangunan seperti upacara perkahwinan dihadkan kepada 100 orang atau hanya 25 orang jika pas vaksin tidak diperlukan.
"Upacara perkahwinan saya tidak akan berlangsung dan saya meminta maaf jika ada pasangan lain yang juga terpaksa berbuat demikian.
"Namun inilah realiti kehidupan kita sekarang bagi mengekang penularan wabak ini yang boleh meragut lebih banyak nyawa," jelasnya.
Tambahnya lagi tiada beza antara dia dan ribuan rakyat New Zealand yang tidak dapat bersama ahli keluarga ketika bertarung nyawa melawan pandemik ini.
"Keadaan itu lebih menyedihkan daripada apa yang saya rasa akibat terpaksa membatalkan upacara perkahwinan sendiri," katanya.