Itali siap sedia hadapi risiko banjir di utara, cuaca panas di selatan
Bernama
November 2, 2023 23:33 MYT
November 2, 2023 23:33 MYT
ROME: Itali bersiap sedia menghadapi cuaca ekstrem pada Rabu, dengan hujan lebat dan banjir diramal melanda bahagian tengah dan utara Itali, manakala cuaca panas diramalkan di selatan negara itu, lapor Xinhua.
Pegawai perlindungan awam berkata bahawa dua fenomena ribut petir dijangka melanda seluruh negara minggu ini, dengan amaran peringkat merah dikeluarkan di wilayah timur laut Veneto dan Friuli Venezia Giulia dan amaran peringkat jingga di barat laut dan tengah Itali, termasuk Milan.
Kejadian ribut petir berkemungkinan mencetuskan banjir dan boleh menghalang jalan raya, menjejaskan pengangkutan laut komersial dan penumpang serta merosakkan tanaman.
Ramalan itu dikeluarkan selepas hujan lebat yang berlanjutan selama beberapa hari melanda kebanyakan kawasan di Utara.
Di selatan Itali, suhu melebihi 35 darjah Celsius direkodkan pada Oktober.
Sicily turut mengalami cuaca ekstrem dan beberapa kebakaran hutan dilaporkan minggu ini.
Pada awal minggu ini, Kesatuan Pertanian Coldiretti berkata bahawa cuaca panas sejak Ogos dan ramalan ribut petir akan menjejaskan sektor pertanian.
Cuaca tidak menentu pada tahun ini telah menjejaskan pengeluaran gandum sebanyak sepuluh peratus, manakala pengeluaran ceri adalah 60 peratus lebih rendah daripada kebiasaan, manakala penghasilan madu pula 70 peratus lebih rendah berbanding tahun lepas.
Sepanjang 18 bulan lalu, Itali mengalami rentetan peristiwa cuaca ekstrem, termasuk cuaca panas dan kemarau pada 2022 dan 2023, kebakaran hutan, banjir, tanah runtuh, hujan batu dan angin kencang.
-- BERNAMA