Itali rancang tambah 40,000 anggota tentera menjelang 2033 - Laporan

Bernama
Mac 9, 2025 05:15 MYT
Kerajaan Itali merancang untuk meningkatkan jumlah tentera profesionalnya sebanyak 40,000 anggota, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 135,000 menjelang 2033. - Gambar fail/Pexels
ROM: Kerajaan Itali merancang untuk meningkatkan jumlah tentera profesionalnya sebanyak 40,000 anggota, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 135,000 menjelang 2033, menurut laporan media pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Akhbar La Repubblica dan La Stampa serta agensi berita ANSA melaporkan, satu pelan baharu keselamatan negara yang diarahkan oleh Menteri Pertahanan Guido Crosetto sedang dirangka.
Pelan itu, yang bertujuan menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik, menyasarkan untuk mengisi kekurangan anggota yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tempoh pelaksanaan pengembangan itu dijangka antara 2030 hingga 2033, menurut laporan berkenaan.
Pelan itu mungkin dibiayai melalui program Kesatuan Eropah yang baru diumumkan bagi meningkatkan perbelanjaan pertahanan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung laporan itu.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Giorgia Meloni yang berhaluan kanan menyokong Ukraine, manakala Meloni juga dilihat sebagai seorang daripada pemimpin Eropah yang digemari Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Kesatuan Eropah #pelan baharu #keselamatan negara
;