Itali lulus akta kurangkan anggota Parlimen, jimat RM4.6 bilion

Isabelle Leong
Oktober 9, 2019 12:36 MYT
Parlimen Itali meluluskan akta mengurangkan lebih satu pertiga anggota Dewan Perwakilan dan Dewan Senator. -Reuters
Parlimen Itali meluluskan akta mengurangkan lebih satu pertiga anggota Dewan Perwakilan dan Dewan Senator.
Akta baharu itu menyaksikan anggota Parlimen dikurangkan daripada 630 kepada hanya 400 anggota.
Bagi Dewan Senator pula, bilangannya dikurangkan kepada 200 berbanding 315 orang.
Reformasi tersebut merupakan sebahagian daripada janji manifesto parti utama dalam pakatan pemerintahan Parti Pergerakan Lima Bintang.
Langkah ini akan menyelaraskan Parlimen dan membolehkan Itali berjimat ratusan juta euro dalam pemberian gaji dan perbelanjaan.
Pengkritik, bagaimanapun, berkata langkah tersebut akan melemahkan demokrasi dan meningkatkan pengaruh pelobi.
Undang-undang baharu ini berpotensi tertakluk pada referendum pengesahan kerana ia membawa perubahan kepada perlembagaan Itali.
Memetik laporan BBC News, Parti Pergerakan Lima Bintang menerusi muat naik di Twitter berkata undang-undang tersebut disokong hampir semua parti dan membolehkan penjimatan RM4.6 bilion (1 bilion euro) dalam tempoh 10 tahun.
Setiausaha Kabinet, Riccardo Fraccaro berkata ia merupakan hari yang dinanti-nantikan selepas hampir 30 tahun janji yang dibuat tidak ditepati.
“Pengurangan anggota Parlimen dan senator kini menjadi realiti selepas hampir 30 tahun janji yang dibuat tidak ditepati.
“Musim baharu politik bermula dan kini rakyat menjadi keutamaan,” kata Fraccaro.
Undang-undang ini akan berkuat kuasa selepas pilihan raya akan datang yang dijadualkan pada 2023.
#Dewan Perwakilan #dewan senator #Itali #Manifesto #Parlimen #Parti Pergerakan Lima Bintang #reformasi #Riccardo Fraccaro #Setiausaha Kabinet
;