"It's magic" - Putera Harry, Meghan Markle dedah wajah bayi sulung mereka
Agensi
Mei 8, 2019 22:23 MYT
Mei 8, 2019 22:23 MYT
Pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle hari ini mendedahkan wajah putera sulung mereka kepada dunia, di Istana Windsor pada Rabu.
Dibungkus dengan kain putih dan dipakaikan topi, bayi lelaki tersebut masih belum diberikan nama itu hanya dikenali sebagai ‘Sussex Baby’ dalam kalangan media.
“It's magic. (Ia sangat menakjubkan.) Saya dikelilingi dengan dua lelaki terbaik di dunia, jadi saya amat bahagia,” kata Meghan yang merupakan Duchess of Sussex.
Putera Harry pula menggambarkan sikap anaknya sebagai 'amat manis'' dan turut menghargai detik-detik awal menjadi seorang bapa.
“Baru hanya dua hari setengah atau tiga hari, tetapi kami sangat teruja mempunyai cahaya mata sendiri dan dapat mengalami detik-detik istimewa bersamanya,” kata Duke of Sussex itu.
Pasangan tersebut bertemu dengan media sebelum berjumpa dengan nenek kepada Putera Harry, Ratu Elizabeth II di istana tersebut untuk memperkenalkan anak mereka.
Ibu Meghan, Doria Ragland, yang berasal dari Amerika Syarikat turut berada bersama pasangan itu di Frogmore Cottage.
Markle selamat melahirkan bayi lelaki pada awal pagi Isnin waktu tempatan.
Perkara itu didedahkan menerusi muat naik ke akaun Instagram yang dikongsi suaminya Putera Harry, serta Twitter rasmi keluarga diraja Britain, @RoyalFamily.
Anak yang baru dilahirkan ini, menjadi waris ketujuh dalam takhta diraja.
Kata Putera Harry, mereka masih dalam proses memikirkan nama bagi anak pertama mereka itu.
#Meghan Markle
#Prince Harry
#Putera Harry
#Queen Elizabeth II
#Ratu Elizabeth
#Royal Baby
#United Kingdom