ISWAMI teroka peluang baharu di Indonesia untuk media Malaysia
Bernama
Ogos 19, 2022 06:00 MYT
Ogos 19, 2022 06:00 MYT
JAKARTA: Ketika media Malaysia menghadapi krisis kemorosotan pendapatan, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) mengambil inisiatif untuk meneroka pengetahuan dan peluang dari media Indonesia, bagaimana mereka mengharungi operasi media masing-masing di saat kemelut kewangan global kini.
Justeru, ISWAMI melakukan lawatan kerja enam hari ke Jakarta mulai 16 Ogos lepas dan ia merupakan usaha pengukuhan serta meneroka bentuk kerjasama media yang lebih efektif.
ISWAMI juga mengambil peluang meraikan bersama sambutan hari Kemerdekaan Indonesia ke-77 pada 17 Ogos.
Delegasi sembilan ahli ISWAMI itu, diketuai Timbalan Presidennya Datuk Zulkefli Hamzah.
Dalam tempoh lawatan itu ISWAMI telah mengadakan pelbagai pertemuan dan perbincangan termasuk dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Kuasa Usaha Sementara, Adlan Mohd Shaffieq.
“Pihak kedutaan mahukan kerjasama ISWAMI dalam bentuk mengadakan satu simposium melibatkan ahli pemikir dari Malaysia dan Indonesia membincangkan masa depan kedua-dua negara pada 2050,” kata Zulkefli.
Turut dicadangkan adalah satu pameran foto diadakan mengenai hubungan antara Malaysia dan Indonesia, tambahnya.
ISWAMI membuat kunjungan hormat dengan stesen Radio Republik Indonesia (RRI) dalam membincangkan potensi kerjasama dalam aspek pertukaran kandungan dan program antara Malaysia dan Indonesia dengan Direktur Utama Lembaga Penyiaran Publik (LPP) RRI, I Hendrasmo pada Rabu.
Perbicangan bentuk kerjasama media juga turut diadakan dengan pihak Digital Jawa Pos.
Keesokkannya, ISWAMI bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif ANTARA Digital Media, Darmadi di Pejabat Antara.
ISWAMI membincangkan dengan ANTARA berhubung peluang perniagaan digital dengan kerjasama agensi berita Indonesia itu melalui perniagaan TV kiosk.
Pertemuan konstruktif itu merupakan peluang untuk media Malaysia berusaha menjadikan ia sebagai sumber kewangan baharu.
ISWAMI turut mengambil peluang bertemu dengan Ketua Dewan PERS, Azyumardi Azra pada Jumaat, berkaitan usaha penubuhan persatuan wartawan Malaysia dan program pertukaran wartawan Malaysia dan Indonesia.
Dewan Pers adalah sebuah lembaga independen di Indonesia yang berfungsi untuk mengembangkan dan melindungi kehidupan pengamal media di Indonesia.
ISWAMI turut diberi penghormatan apabila mengadakan pertemuan dengan Direktur Jenderal Informasi dan Komunikasi Publik, Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia, Usman Kansong.
Dalam pertemuan itu Dalam pertemuan itu, Usman mencadangkan ISWAMI agar memperluaskan kerjasamanya ke peringkat ASEAN.
Usman mencadangkan agar ISWAMI memperluaskan kerjasama dengan media di Vietnam, Filipina, Singapura dan Thailand.
Selain itu, ISWAMI Malaysia dijemput oleh Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan untuk menghadiri Jakarta Melayu Festival 2022 sempena Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia ke-77.
Zulkefli berkata lawatan kerja ISWAMI menjadi lebih bermakna apabila dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat Indonesia menyambut hari kemerdekaan republik itu pada 17 Ogos dan membuat liputan terhadap keunikan sambutan merdeka itu.
Antara sambutan itu termasuk permainan rakyat - kasut terompah, makan keropok, panjat tiang licin - boleh dilihat di mana-mana di seluruh pelosok Indonesia.
Tinjauan Bernama mendapati malah sambutan itu dilakukan di lorong-lorong perumahan, di sekolah dan di hotel-hotel lima bintang.
Mereka turut memakai pakaian merah putih iaitu warna bendera Indonesia.
— BERNAMA