Isu Xinjiang: AS tambah 14 syarikat China dalam senarai hitam
Astro Awani
Julai 9, 2021 07:10 MYT
Julai 9, 2021 07:10 MYT
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden menambah 14 syarikat China dan entiti lain ke dalam senarai hitam ekonominya atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.
Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mendakwa syarikat-syarikat itu terlibat dalam kempen penindasan, penahanan besar-besaran dan pengawasan teknologi tinggi terhadap etnik minoriti Islam Uyghur, Kazakhstan dan kumpulan minoriti Muslim lain di Xinjiang.
Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Antara syarikat dikenakan sekatan termasuk syarikat teknologi maklumat China, Xinjiang Lianhai Chuangzhi, Shenzen Cobber, Beijing Geling Shentong, Shenzen Huaántai Intelligent Technologi dan Chendu Xiu Security System Alliance.
Jabatan Perdagangan AS mendakwa secara keseluruhan 34 entiti termasuk beberapa dari Rusia, Iran dan lima entiti lain yang menyokong program tentera China.
Setiausaha Perdagangan Gina Raimondo dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Perdagangan komited mengambil tindakan menyasarkan entiti yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang atau menggunakan teknologi AS untuk mendorong usaha pemodenan tentera China.
Tindakan itu menyusuli keputusan jabatan itu bulan lalu untuk menambah lagi lima syarikat dan entiti China lain ke dalam senarai hitam berhubung dakwaan buruh paksa di wilayah barat China.
China menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan buruh paksa di Xinjiang dan menyatakan tindakan itu untuk membasmi pelampau agama yang merancang serangan dan menimbulkan ketegangan antara etnik Muslim Uyghur dan Han, kumpulan etnik terbesar di China.
#Joe Biden
#etnik minoriti
#Islam
#China
#Beijing
#penindasan
#Gina Raimondo
#pelanggaran hak asasi manusia
#Uyghur
#minoriti Muslim