Isu selatan Thailand: Cabaran besar menanti Kabinet Srettha
Shafizan Johari
September 5, 2023 17:54 MYT
September 5, 2023 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri Srettha Thavisin dikhuatiri berdepan cabaran besar dalam menyantuni isu selatan Thailand, jelas mantan penasihat kepada Thaksin Shinawatra.
Profesor Dr Jaran Maluleem, berkata situasi ini dijangka terjadi memandangkan Parti Pheu Thai yang kini mengemudi kerajaan ditolak oleh pengundi selatan Thailand menerusi pilihan raya baru-baru ini.
Kata Jaran, penolakan masyarakat selatan Thailand terhadap Parti Phue Thai memberi isyarat besar bahawa pentadbiran Srettha perlu bekerja lebih keras untuk memperoleh kepercayaan mereka jika kerajaan ini benar-benar serius mahu menjayakan proses damai di wilayah-wilayah berkenaan.
“Kita harus sedar bahawa Pheu Thai tidak menang mana-mana kerusi di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani. Oleh itu mereka harus fikirkan (usaha menangi hati penduduk), maka Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta Menteri Pertahanan harus bekerjasama untuk menyelesaikan masalah di selatan Thai.
“Walaupun rundingan damai masih berjalan, kita berharap parti pemerintah kerja lebih keras untuk memperbaiki situasi di selatan. Oleh itu, jika mereka mahu masalah di selatan selesai, maka mereka perlu beri masa yang lebih untuk memahami masalah dan penduduk di kawasan berkenaan," katanya.
Pakar pengajian antarabangsa itu pada masa sama tetap optimis bahawa proses damai berkenaan akan menjadi lancar berikutan pelantikan tokoh pemimpin Melayu, Wan Mohamad Noor Matha sebagai Speaker Parlimen yang boleh berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan masyarakat setempat, yang majoritinya etnik Melayu.
Proses rundingan dimulakan pada 2013 ketika Phue Thai menerajui kerajaan semasa pentadbiran Yingluck Shinawatra, di mana Malaysia merupakan fasilitator kepada proses tersebut.
Kes keganasan di Yala, Narathiwat dan Pattani yang terletak di selatan Thailand dan bersempadan dengan Malaysia memuncak sejak 2004 dengan jumlah korban kini sudah melebihi 7,000 mangsa.
Sementara itu, Dr Bandit Aroman, Penolong Dekan Kolej Antarabangsa Islam Bangkok berharap pentadbiran Srettha yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn pada Selasa dapat meneruskan inisiatif damai selatan Thailand, sebagai satu agenda nasional seperti mana yang dilaksanakan pentadbiran terdahulu.
“Penjelasan dasar (mengenai isu selatan Thailand) harus dikemukakan di Parlimen. Kita pernah ada analisis dasar mengenai selatan Thailand yang diluluskan oleh wakil Parlimen bagi menjadikan isu ini sebagai agenda nasional," katanya.
Jelasnya, kesinambungan ini penting bagi mewujudkan keyakinan terhadap semua pemegang taruh yang terlibat dalam isu berkenaan.