Isu Rohingya: Myanmar bantah komen UNHCR, tidak mahu dikritik bersendirian
Astro Awani
Mei 29, 2015 16:37 MYT
Mei 29, 2015 16:37 MYT
Myanmar membantah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat selepas badan dunia itu menggesa penyelesaian masalah pelarian Muslim Rohingya, dengan mengatakan bahawa kritikan tidak seharusnya ditujukan kepada negaranya sahaja.
‘Ketegangan’ dalam krisis pelarian di Asia Tenggara dirasai apabila delegasi daripada 17 negara kini berhimpun untuk membincangkan mengenai nasib ribuan manusia yang merentasi Teluk Bengal dengan bot untuk ke Malaysia dan Indonesia.
Krisis tersebut semakin kecoh diperkatakan selepas pihak berkuasa Thailand membongkar aktiviti jenayah pemerdagangan manusia hinggakan dalang sindiket berkenaan mengabaikan mangsa pelarian itu di laut mahupun di darat.
Pengarah Perlindungan Antarabangsa Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Dr. Volker Turk mendesak Myanmar untuk menangani masalah komuniti Muslim Rohingya yang telah sekian lama cuba lari daripada penindasan di barat Myanmar, lapor AFP.
“Untuk mengenal pasti punca krisis itu memerlukan tanggungjawab sepenuhnya daripada Myanmar dan rakyatnya. Pemberian taraf warganegara adalah matlamat utama,” kata Turk.
Myanmar menafikan hak kewarganegaraan bagi 1.3 juta rakyat Rohingya dan tidak menerima mereka sebagai etnik minoriti yang sah, malah melabelkan mereka sebagai Benggali.
Komen daripada Turk tersebut telah membuatkan delegasi Myanmar membuat bantahan.
“Dalam isu pelarian manusia dengan bot ini, anda semua tidak boleh menuding jari kepada negara saya,” kata Ketua Pengarah kementerian Luar Myanmar Htin Lynn.
Myanmar sering menolak sebarang persoalan yang dibangkitkan di peringkat antarabangsa menangani status Muslim Rohingya.
Htin Lynn menyifatkan komen Turk tentang subjek pelarian sengaja ‘dipolitikkan’ selain mengatakan bahawa sesetengah isu adalah hal ehwal dalaman Myanmar.
Sehingga kini, tekanan diplomatik semakin dirasai Myanmar dan Bangladesh khususnya berkenaan warga mereka yang kerap menceroboh sempadan perairan negara lain.
Golongan pelarian ini berdepan kekangan pergerakan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan keluarga.
Status mereka dalam masyarakat juga ditindas teruk, malah ikon pejuang demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi juga langsung tidak menggunakan pengaruhnya untuk membela nasib pelarian tersebut.