Isu politik dinasti jadi kebimbangan dalam pemilihan Presiden Indonesia - Penganalisis
Irwan Muhammad Zain
Januari 3, 2024 23:06 MYT
Januari 3, 2024 23:06 MYT
KUALA LUMPUR: Politik dinasti atau mewariskan kekuasaan kepada ahli keluarga menjadi isu utama dan kebimbangan penduduk Indonesia menjelang Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024 yang dijadualkan pada 14 Februari nanti.
Menurut Pengarah Eksekutif Lingkar Madani, Ray Rangkuti, isu politik dinasti ini menjadi sebutan rakyat Indonesia ketika siri kempen ketiga-tiga calon sedang berlangsung.
Ray menjelaskan, isu politik dinasti ini timbul ekoran pencalonan Gibran Rakabuming Raka yang merupakan anak sulung kepada Presiden Joko Widodo sebagai calon wakil presiden berpasangan dengan Prabowo Subianto.
Isu ini juga jelas beliau boleh menyebabkan pemilihan presiden Indonesia tidak akan selesai dengan hanya satu pusingan tetapi perlu melalui pusingan kedua pengundian.
"Isu politik dinasti ini cukup 'mengganggu' Pak Probowo yang sebelum ini cukup yakin mereka akan menang menerusi satu pusingan.
"Tetapi bila begitu besar isu politik dinasti ini timbul khususnya kepada anak-anak muda yang diwakili oleh mahasiswa di Indonesia, ia menahan sokogan terhadap Pak Probowo.
"Jadi sekarang ini kerana adanya isu politik dinasti, maka timbul adakah pemilihan ini cukup hanya satu pusingan atau perlu ditentukan dengan dua pusingan," katanya menerusi program Agenda AWANI.
Menurut Ray, masyarakat Indonesia tidak melihat Gibran sebagai wakil anak muda kerana dia mendapat pencalonan atas faktor anak Jokowi.
Jelas beliau, rakyat Indonesia tidak mahu anak muda dilihat bergantung kepada bapa untuk mendapat kedudukan tertentu.
Malah, dua calon presiden yang lain iaitu bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan juga dilihat mewakili anak muda Indonesia.
"Oleh kerana itu masyarakat Indonesia tidak melihat Gibran sebagai satu-satunya wakil anak muda dalam Pilpres ini.
"Malah masyarakat Indonesia melihat itu Gibran dapat menjadi calon wakil presiden kerana previllage orang tuanya, kerana bapanya.
"Jadi masyarakat Indonesia tidak mahu dilihat mereka sebagai orang yang mendukung Gibran itu kerana Gibran itu tidak mewakili anak muda," katanya lagi.
Kebimbangan tentang politik dinasti membuatkan rakyat Indonesia tidak lagi disibukkan dengan politik identiti yang timbul dalam pilihan raya presiden sebelum ini.
Prabowo-Gibran dicadangkan oleh Parti Gerindra, Golkar, Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Solidariti Indonesia (PSI), Parti Bulan Sabit (PBB), Parti Demokrat, dan Parti Garuda.
Anies-Muhaimin Iskandar dicalonkan oleh Parti Nasdem, Parti Kebangkitan Negara (PKB) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS).
Pencalonan Ganjar-Mahfud MD pula dikemukakan oleh Parti Perjuangan Demokrasi Indonesia (PDIP), Parti Pembangunan Bersatu (PPP), Parti Perindo dan Parti Nurani Rakyat (Hanura).
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), senarai pengundi berdaftar untuk pilihan raya 2024 melebihi 204 juta, peningkatan sebanyak 12 juta pengundi berbanding pilihan raya 2019.
#Ganjar Pranowo
#Anies Baswedan
#Prabowo Subianto
#Indonesia
#Pilpres 2024
#presiden
#wakil presiden