Isu PETRONAS-PETROS selesai, tiada ralat dalam soal dasar – PM Anwar
Irfan Faruqi
Januari 14, 2025 22:37 MYT
Januari 14, 2025 22:37 MYT
ABU DHABI: Isu yang berbangkit mengenai kedudukan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah selesai tanpa sebarang ralat dari segi dasar dan perundangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan mendapati kedua-dua entiti terbabit boleh meneruskan operasi perniagaan dengan menghormati hak dan perjanjian semasa yang berkuatkuasa.
“Kita adakan beberapa siri perbincangan antara Peguam Negara, pegawai-pegawai, termasuk PETROS dan PETRONAS. Kemudian saya bincang dengan Premier Abang Johari.
“Apabila kita teliti, tidak ada kemusykilan mengenai beberapa perkara dasar. Kita perlu terima Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 terpakai diseluruh negara, dan ini diterima oleh Sarawak dan PETROS.
“Tetapi kita juga terima kenyataan bahawa PETROS ini diwujudkan untuk memberi ruang kepada Sarawak meneroka program carigali dan pengedaran gas di Sarawak. Jadi keputusan kita ialah semua perjanjian yang telah termeterai tidak diganggu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penutup lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu pada Selasa.
Tambah Anwar, bagi projek-projek baharu, PETRONAS dan PETROS akan melaksanakannya secara kerjasama yang bersifat menang-menang. Oleh yang demikian, beliau sifatkan tidak wujud kebimbangan ada pihak yang dipinggirkan.
“PETRONAS di Sarawak akan melibatkan PETROS (merujuk kepada kerjasama tenaga alternatif hidrogen). Manakala, PETROS kalau melibatkan soal carigali, yang melibatkan rantau Malaysia akan melibatkan PETRONAS. Ini dipersetujui.
“Saya tidak fikir ada masalah lain Kerana rundingan-rundingan lain itu rundingan komersial (melibatkan) kos ambil alih atau kos kerjasama. Itu bukan urusan saya untuk masuk campur,” katanya..
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, PETRONAS ialah sebuah entiti nasional, dan pelbagai pelaburan dari luar negara memberi penekanan kepada penglibatan syarikat minyak dan gas itu dalam pelaksanaan projek-projek di Malaysia.
“Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, apabila bincang dengan saya keperluan masuk dalam bidang hidrogen, kemungkinan pembiayaan syarikat-syraikat seperti Tokyo Gas yang besar, mereka mahu pastikan penglibatan PETRONAS bersama di Sarawak. Sama juga dengan perbicangan kita dengan Mubadalah (Syarikat Pelaburan Mubadalah) dan ADIA (Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi) di sini,” jelasnya.