Isu perpaduan dijangka bertambah baik di bawah pentadbiran Joe Biden
Hilmi Malik
Januari 20, 2021 20:50 MYT
Januari 20, 2021 20:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pentadbiran Joe Biden dan Kamala Harris dilihat bakal mengukuhkan semula isu perpaduan di negara kuasa besar itu.
Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Prof Dr Jatswan Singh berkata, ini disebabkan dilihat wujudnya isu perpecahan dalam pentadbiran Donald Trump sebelum ini.
“Joe Biden dan Kamala Harris akan mengambil inisiatif untuk memastikan isu perpaduan dapat dikukuhkan semula.
“Kita dapati banyak telah berlaku sewaktu pentadbiran Trump termasuk rusuhan pada awal Januari lalu.
“Rusuhan yang berlaku ketika itu jelas menunjukkan bahawa terdapat perpecahan dari segi politik di kalangan rakyat Amerika dan juga dua parti politik utama,” katanya ketika ditemu bual menerusi Skype pada Rabu.
Mengulas lanjut, hubungan antara negara Amerika Syarikat dan China juga dijangka akan diperbaiki apabila tindakan Trump sebelum ini yang lebih kepada membuat sesuatu dasar dengan cara tersendiri.
“Biden dijangka akan lebih merujuk isu China dengan mendapatkan persetujuan negara-negara bersekutu di Asia.
“Kita lihat sewaktu zaman Trump, banyak dasar tersendiri dibuat tanpa rujukan negara sekutu sehingga tercetusnya peperangan dagang antara kedua-dua negara itu,” katanya lagi.
#Donald Trump
#Amerika Syarikat
#presiden
#perpaduan
#Joe Biden
#China
#Asia
#politik
#presiden as
#Presiden Amerika Syarikat