Isu pekerja asing: Kuwait, Filipina bakal tandatangani perjanjian baharu
Agensi
Mac 18, 2018 09:17 MYT
Mac 18, 2018 09:17 MYT
Perjanjian dua hala baharu berhubung keselamatan pekerja akan ditandatangani Filipina dengan Kuwait tidak lama lagi.
Sebelum ini hubungan dua hala terbabit sedikit tegang susulan kematian warga Filipina yang bekerja di Kuwait.
Susulan itu juga Manila telah mengarahkan agar kesemua warganya yang berada di negara teluk itu kembali ke tanah air serta-merta.
Setiausaha Pekerja Filipina, Silvestre Bello III berkata siri rundingan selama dua hari yang diadakan di Manila antara wakil kedua-dua buah negara telah mencapai kata sepakat bagi melaksanakan perjanjian baharu tersebut.
Perjanjian Perlindungan Pekerja terbabit bertujuan melindungi pekerja selain menangani beberapa isu berbangkit sebelum ini.
Perjanjian terbabit turut menetapkan syarat kontrak baharu pekerja dan penyimpanan pasport di kedutaan Filipina selain penetapan gaji minimum sebanyak AS$400 sebulan dan majikan perlu membuka akaun bagi pekerja.
"Antara masalah lain yang dibangkitkan ialah mereka (Kuwait) mahukan kontrak pekerjaan mengikut standard kontrak pekerjaan di Kuwait.
"Namun kami tidak bersetuju dan akhirnya kami mempunyai formulasi yang neutral bahawa kontrak akan dibuat berdasarkan kesepakatan bersama Filipina dan Kuwait," jelasnya.
Tambah Bello, duta besar Kuwait ke Filipina akan bertemu dengannya pada Isnin bagi memuktamadkan tarikh dan tempat menandatangani perjanjian itu nanti.
#Filipina
#keselamatan
#Manila
#pekerja asing
#perjanjian baharu
#Perjanjian Perlindungan Pekerja
#Silvestre Bello