Isu Palestin: AS tiada jawapan konkrit bila kekejaman boleh dihentikan

Syafik Shukri Jalil
Oktober 10, 2024 07:20 MYT
Mohamad bercakap kepada media Malaysia selepas mengiringi Anwar dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan AS di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan, di Vientiane, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
VIENTIANE: Amerika Syarikat (AS) tiada jawapan konkrit kepada persoalan bilakah kekejaman dan penderitaan rejim Israel terhadap Palestin dapat dinoktahkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun, menurutnya, Washington masih berharap agar peperangan dapat dihentikan dan tidak merebak ke kawasan-kawasan lain.
“Setiausaha Negara AS Anthony Blinken ada berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan saya, serta berbincang banyak tentang perkara ini.
“Kami bertanyakan bilakah masalah dan pembunuhan rakyat Palestin yang sudah merebak ke Lubnan ini boleh diredakan dan dihentikan?
“Tetapi, nampaknya tiada jawapan yang konkrit yang boleh diberikan pihak Blinken dan beliau
mengatakan semua pihak termasuk AS mahu lihat peperangan ini tidak merebak dan dihentikan segera,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada delegasi media Malaysia selepas mengiringi Anwar dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan AS di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, pada Khamis.
Selain itu ujarnya, konflik yang berterusan di rantau Asia Barat ketika ini juga adalah disebabkan keangkuhan dan kesombongan rejim Zionis yang tidak mahu tunduk terhadap pelbagai gesaan global.
Untuk itu, Mohamad berkata, sudah tiba masanya negara-negara sekutu mengambil pendirian jelas untuk tidak lagi bersekongkol dengan rejim ini dan berhenti memberikan apa jua bantuan kepada mereka.
“Tahulah (sikap) Israel yang begitu angkuh dan sombong, tidak mahu dengar cakap sesiapa pun.
“Kita berharap negara-negara sekutu yang membekalkan senjata dan segala bantuan kepada Israel, merekalah yang 'membesarkan' gergasi ini, jadi you should look after your own monster,” ujarnya lagi.
Kekejaman rejim Israel secara besar-besaran yang menghancurkan dan menyasarkan penduduk Palestin khususnya di Gaza sejak setahun lalu telah mengorbankan lebih 42,000 nyawa setakat ini.
#Amerika Syarikat #Mohamad Hasan #Israel #Palestin
;