Isu Palestin: Sesi Khas PBB kejayaan rakyat Malaysia tekan komuniti dunia - Hishammuddin
Afiezy Azaman
Mei 20, 2021 11:32 MYT
Mei 20, 2021 11:32 MYT
KUALA LUMPUR: Satu Sesi Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) akan diadakan bagi membahaskan mengenai 'Situasi Terkini di Timur Tengah' dan 'Soal Palestin', hari ini.
Sesi tersebut terhasil susulan usaha berterusan rakyat Malaysia menekan komuniti dunia dan mengecam kekejaman rejim Zionis secara maya, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurutnya, keputusan Presiden UNGA Volkan Bozkir mengadakan sesi berkenaan di New York juga merupakan hasil desakan bersama ketiga-tiga pemimpin negara Islam di Asia Tenggara.
Desakan sebelum ini dibuat Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
"Keberkesanan desakan dan tekanan yang dilakukan Malaysia ini turut diakui sendiri Presiden Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) yang menyatakan rakyat Malaysia telah berjaya mengubah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Israel.
"Inilah kekuatan apabila semua memainkan peranan dan bersatu-padu. Di pihak kementerian, kami telah menggunakan setiap ruang bagi mendapatkan resolusi kolektif organisasi-organisasi pelbagai hala.
"Ini termasuk desakan tegas kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar berhenti membisu, sebaliknya bertindak segera mengikut enam syor Malaysia; serta menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengkaji semula rancangan menempatkan pasukan bersenjata PBB bagi melindungi rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, UNSC jelas gagal mencapai kesepakatan walaupun sudah tiga kali bersidang, atas sebab kuasa veto satu negara sahaja.
"Seperti saya sebut sebelum ini, kekurangan azam politik organisasi-organisasi pelbagai hala ini tidak boleh terus dijadikan alasan untuk mengabaikan tindakan penjajahan Zionis Israel yang semakin berleluasa.
"Cukup-cukuplah masyarakat antarabangsa berdiam diri. Apa yang berlaku sekarang adalah jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
"Rakyat Malaysia, jangan pandang rendah kekuatan suara anda. Teruskan usaha anda semua!" tegasnya.
#Muhyiddin Yassin
#Joko Widodo
#Hishammuddin Hussein
#UNSC
#PBB
#Zionis
#Palestin
#rejim Zionis
#rakyat Malaysia
#Indonesia
#UNGA
#sesi khas
#Mesyuarat Khas
#keselamatan
#Brunei
#Malaysia