Isu Palestin-Israel: Rundingan gencatan senjata, penyelesaian politik, jalan keluar - China

Bernama
Ogos 23, 2024 16:15 MYT
Fu berkata penggunaan cara ketenteraan demi mencapai "kemenangan sepenuhnya" di kawasan Gaza tidak akan mewujudkan sebarang syarat bagi pembebasan tahanan, dan tidak akan membawa keamanan dan ketenteraman kepada Israel dan rantau berkenaan.
BEIJING: Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong menegaskan rundingan gencatan senjata dan penyelesaian politik adalah jalan keluar bagi isu antara Palestin dan Israel.
Berucap pada sesi terbuka Majlis Keselamatan mengenai isu Palestin-Israel pada Khamis, Fu berkata penggunaan cara ketenteraan demi mencapai "kemenangan sepenuhnya" di kawasan Gaza tidak akan mewujudkan sebarang syarat bagi pembebasan tahanan, dan tidak akan membawa keamanan dan ketenteraman kepada Israel dan rantau berkenaan.
"Ia hanya akan mengorbankan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa," kata Fu.
Beliau menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa berulang kali mengeluarkan seruan untuk mewujudkan gencatan senjata dan menamatkan peperangan, manakala Perhimpunan Agung PBB, Majlis Keselamatan dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga membuat tuntutan yang jelas.
"Walau bagaimanapun, Israel tidak mempedulikan seruan dan tuntutan tersebut, tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menghentikan operasi ketenteraan.
Beliau menegaskan bahawa isu kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan, kelaparan tidak boleh digunakan sebagai senjata, dan nyawa rakyat jelata tidak boleh digunakan untuk tawar-menawar.
"China menggesa Israel dengan serta-merta menghentikan operasi ketenteraan, mengelakkan tindakan meruncingkan situasi, dan berhenti meletakkan halangan bagi gencatan senjata di Gaza," kata Fu.
-- BERNAMA
#China #kekejaman israel #hak Palestin #tindakan PBB