Isu Palestin: Hamas bukan pengganas, Malaysia tidak iktiraf RUU Amerika Syarikat – PM Anwar

Firdaus Azil
November 7, 2023 12:15 MYT
Anwar berkata, RUU Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu memperlihatkan unsur ugutan kepada pihak yang ingin membantu rakyat Palestin. - Gambar/ Japen
KUALA LUMPUR: Malaysia tegas untuk tidak mengiktiraf undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan untuk menekan mana-mana pihak termasuk kerajaan negara lain menyalurkan bantuan kepada Hamas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU yang disebut sebagai RUU Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu, memperlihatkan unsur ugutan kepada pihak yang ingin membantu rakyat Palestin yang telah lama ditindas rejim Israel.
“Kerajaan tidak mengiktiraf mana-mana keputusan, mana-mana negara, termasuk AS yang mengenakan sekatan atau sanction secara unilateral. Kita hanya iktiraf keputusan UNSC (Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang disebut sebagai multilateral.
“Jadi tentunya kita tidak bersetuju dengan cara AS... ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita. Sepanjang semalam saya hubungi beberapa negara sahabat dan negara Islam yang memberikan pendirian yang sama, jadi kita tidak iktiraf,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mahu mengetahui pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan AS yang meluluskan RUU Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas, untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, RUU tersebut jika diluluskan, dijangka akan memberi kesan kepada Malaysia hanya sekiranya Pentadbiran Presiden Joe Biden menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu kerajaan asing yang benar-benar terbukti memberi sokongan berbentuk material (kewangan atau bahan-bahan berkenaan bagi kelangsungan operasi) Hamas atau Jihad Palestin Islam.
“Sebarang sekatan terhadap Malaysia juga mampu mempengaruhi penilaian Kerajaan AS dan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia, serta menjejaskan peluang-peluang pelaburan syarikat AS ke Malaysia.
“Kebarangkalian untuk RUU ini diluluskan di Dewan Negara dengan izin, Senate serta ditandatangani oleh Presiden Joseph Biden adalah tinggi berikutan kebanyakan anggota-anggotanya yang lebih bersifat pro-Israel,” katanya lagi.
Bagaimanapun Anwar berkata, Malaysia akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU ini sekiranya diluluskan.
Beliau berkata, Malaysia juga akan terus menggesa AS untuk menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang dan konvensyen yang berkenaan, terutamanya untuk keadilan kemanusiaan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan adalah memperakui perjuangan rakyat Palestin yang sekian lama tertindas dengan kekejaman Israel, seperti mana Malaysia mengakui perjuangan Nelson Mandela dan African National Congress.
“Apa yang berlaku adalah hak legitimate sah perjuangan Palestin, dan itu menjadi dasar kita. Malah saya menambah walaupun kita tidak memperakui Rome Statute, dan tidak boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tetapi arahan kita jelas.
“Kita akan memberi sokongan pada mana-mana negara termasuk Palestin dalam membawa kes Palestin dan penjajahan, dan kezaliman dan penindasan ke atas rakyat Palestin,” katanya lagi.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut meminta media dan rakyat Malaysia untuk tidak menganggap Hamas sebagai sebuah organisasi militan, dan lebih memahami bahawa kekejaman Israel bukan semata-mata kerana berbeza agama, sebaliknya ia harus dilihat sebagai pembersihan etnik.
“Jadi berkait gesaan tersebut, saya setuju dan ingin mengingatkan rakyat semua termasuk media bahawa ada yang dikatakan legitimate, maknanya hak. Mana-mana negara dijajah yang dizalimi berhak, seperti mana contoh terbaik adalah ANC (African National Congress).
“(Satu ketika dahulu) ANC dituduh pengganas, tetapi Almarhum Tunku Abdul Rahman memberi sokongan dan ia berterusan. Tatkala kita sokong ANC, ini pemimpin-pemimpin sebelum saya, kita tidak iktiraf kenyataan dunia barat bahawa Nelson Mandela itu kepala pengganas.
“Untuk Malaysia saya setuju, harus ada kesedaran, semua media juga harus faham kegelisahan dan sensitiviti rakyat, dan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk membantah dan bertindak. Saya ungkapkan dispossession tanah, harta, maruah, yang ia terus diperkosa dan dihina,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Amerika Syarikat #Hamas #Rang Undang-Undang
;