Isu Palestin: Amerika Syarikat selar kenyataan menteri Israel
Bernama
Mac 22, 2023 14:20 MYT
Mac 22, 2023 14:20 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyelar kenyataan Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich yang seolah-olah cuba menafikan kewujudan rakyat Palestin dan menyifatkan kenyataan itu "tidak tepat" dan "berbahaya."
Jurucakap Jabatan Negara Vedant Patel berkata: "kenyataan itu sangat membimbangkan dan berbahaya."
"Rakyat Palestin mempunyai sejarah dan budaya yang kaya dan Amerika Syarikat sangat menghargai perkongsiannya dengan rakyat Palestin," kata Patel kepada pemberita di Jabatan Negara, lapor Agensi Anadolu.
Ketika berucap di Paris pada Ahad, Smotrich menafikan kewujudan rakyat Palestin dengan berkata:" rakyat Palestin merupakan "ciptaan" dari abad lalu dan orang seperti dirinya dan datuk neneknya adalah "orang Palestin sebenar".
Menteri berkenaan dilaporkan membuat kenyataan itu dari podium yang dihiasi peta "Israel yang lebih besar" termasuk wilayah Palestin yang diduduki dan Jordan.
Patel berkata peta itu tidak tepat dan provokatif.
Mengenai pindaan yang baru diluluskan di parlimen Israel yang membenarkan penduduk Israel mendirikan semula kediaman di empat pos haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, Patel berkata undang-undang itu akan mencetuskan lagi ketegangan dan menjadikan rundingan penyelesaian semakin sukar dicapai dan jelas bercanggah dengan ikrar yang dibuat oleh Israel.
"AS sekeras-kerasnya menggesa Israel supaya mengelak daripada membenarkan pendatang kembali ke kawasan berkenaan, selaras dengan komitmen bekas Perdana Menteri Sharon dan kerajaan Israel kepada Amerika Syarikat," katanya.
-- BERNAMA