Isu kehadiran tentera India sudah selesai - Menteri Luar Maldives

Bernama
Mei 10, 2024 14:37 MYT
Moosa tiba di India dalam lawatan peringkat tinggi pertama dari Maldives ke negara jiran tersebut. - Gambar fail/FB Moosa Zameer
NEW DELHI: Isu kehadiran tentera India di Maldives sudah selesai, kata Menteri Luar Maldives Moosa Zameer pada Khamis.
Moosa tiba di India dalam lawatan peringkat tinggi pertama dari Maldives ke negara jiran tersebut.
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu selepas pilihan raya tahun lepas meminta India menarik balik hampir 90 tentera yang mengendalikan dua helikopter dan sebuah pesawat turboprop.
Beliau berkata anggota berkenaan telah digantikan dengan orang awam India untuk mengendalikan pesawat tentera.
"Kami telah beralih daripada isu itu. Bahagian itu sudah selesai," kata Moosa.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India Randhir Jaiswal semasa taklimat media pada Khamis berkata perbincangan antara Moosa dan rakan sejawatannya dari India, Subrahmanyam Jaishankar meliputi "semua aspek hubungan" termasuk isu keselamatan serantau dan kerjasama pembangunan.
Mengenai orientasi dasar luar negara yang penting secara strategik itu, Moosa berkata pentadbiran baharu adalah "pro-Maldives" dan mempunyai hubungan baik dengan India dan China.
-- BERNAMA
#Maldives #kehadiran tentera India #Moosa Zameer #Subrahmanyam Jaishankar
;