Isu karikatur Nabi Muhammad: Umat Islam serata dunia protes

Astro Awani
Oktober 27, 2020 09:37 MYT
Penunjuk perasaan mengecam tindakan Emmanuel Macron ketika berhimpun di hadapan Pusat Kebudayaan Perancis di Gaza City, 26 Okt, 2020. (Foto AP)
BEBERAPA siri protes diadakan di negara-negara Islam susulan isu penghinaan melalui karikatur terhadap Nabi Muhammad oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo.
Protes itu juga sebagai respons kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mempertahankan tindakan seorang guru yang mati dibunuh kerana membawa kartun itu ke dalam kelasnya dengan alasan hak kebebasan bersuara.
Di Palestin, tindakan ratusan penunjuk perasaan yang memprotes telah merebak ke Kem Pelarian Al-Ram di Tebing Barat.
Peserta protes berarak di kem itu dengan membakar gambar Macron.
Mereka membantah tindakan Macron yang enggan mengutuk karikatur itu susulan pembunuhan kejam awal bulan ini terhadap guru Perancis tersebut.
Protes itu turut disertai imam-imam masjid di Semenanjung Gaza yang turut mendesak barangan dari Perancis diboikot.
BACA: Protes di Pakistan bantah penerbitan semula kartun kontroversi hina Nabi Muhammad
Sementara itu, di Al-Bab, Syria, penunjuk perasaan berkumpul dalam protes terhadap Perancis susulan isu karikatur berkenaan.
Penunjuk perasaan meletakkan kasut kepada gambar Macron sambil sesetengahnya memijak poster gambar beliau dan beberapa pemimpin lain, menggesa boikot terhadap barangan Perancis.
Dalam pada itu, di Iraq, penunjuk perasaan membakar bendera Perancis di hadapan bangunan kedutaan negara itu di Baghdad.
Penunjuk perasaan di bandar itu juga memprotes kenyataan Macron berhubung isu itu.
Beberapa kumpulan umat Islam berkumpul di sepanjang jalan di kedutaan tersebut sambil mengibarkan bendera Iraq dan memijak gambar Macron.
Tunjuk perasaan dan desakan boikot turut diadakan di Pakistan dan Yaman.
#pelarian #Penunjuk perasaan #Emmanuel Macron #maut #presiden #protes #Iraq #Syria #Islam #Palestin #Pakistan #Gaza #Charlie Hebdo #guru #hina Nabi #Nabi Muhammad #Perancis #boikot
;