Isu kapal selam: Peringatan keras terhadap EU

Astro Awani
September 22, 2021 08:32 MYT
Michael Roth (gambar) berkata keputusan itu menjadi peringatan kepada semua negara anggota untuk memperkasakan kedaulatan dan bersatu dalam mendepani isu berkaitan. -Instagram/ michael.roth.mdb
BRUSSELS: Keputusan Amerika Syarikat dan Australia melucutkan kontrak pembekalan kapal selam dari Perancis menjadi peringatan keras bahawa Kesatuan Eropah (EU) perlu meningkatkan keupayaannya untuk bertindak secara bebas.
Menteri Hal Ehwal Eropah Jerman, Michael Roth, berkata keputusan itu menjadi peringatan kepada semua negara anggota untuk memperkasakan kedaulatan dan bersatu dalam mendepani isu berkaitan.
Sokongan dan solidariti yang ditunjukkan Jerman serta pegawai tertinggi EU itu disambut baik oleh Perancis yang menyifatkan isu terbabit memperkasakan Eropah dalam merangka haluan strategiknya.
Menteri Hal Ehwal Eropah Perancis, Clement Beaune, berkata isu yang dihadapi itu soal Eropah dan bukan hanya membabitkan negaranya sahaja.
Selain itu, katanya, Paris amat mengharapkan sokongan daripada anggota EU.
Tindakan AS, Australia dan Britain mengadakan rundingan perjanjian berhubung perolehan kapal selam bukan sahaja membelakangi Perancis, malah mengundang rasa tidak puas hati negara berkenaan apabila menggantikan pesanan kapal selam Perancis yang bernilai berbilion dolar.
#kapal selam #Michael Roth #Clement Beaune #EU
;