Isu diskriminasi kaum, Tesla berdepan tuntutan mahkamah di California
Bernama
Februari 11, 2022 14:17 MYT
Februari 11, 2022 14:17 MYT
LOS ANGELES: Jabatan Keadilan Buruh dan Perumahan California (DFEH) memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Tesla pada Rabu berhubung dakwaan syarikat itu mengamalkan diskriminasi dan gangguan perkauman secara sistematik di kilang Fremont.
Tesla bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu dan akan berjuang di mahkamah, kata Xinhua.
Pengarah DFEH, Kevin Kish dipetik NBC News pada Khamis sebagai berkata bahawa agensi itu mendakwa pengeluar kenderaan elektrik gergasi itu bertindak memindahkan ibu pejabatnya dari Golden State ke Texas selepas menerima ratusan aduan pekerja mengenai kilang Teslanya di Utara California baru-baru ini.
Selepas menyiasat dakwaan terbabit, pegawai menemui bukti bahawa kilang Fremont "mengasingkan pekerja mengikut kaum serta pekerja kulit hitam berdepan penghinaan dan diskriminasi dalam tugasan kerja, tindakan disiplin, gaji dan kenaikan pangkat sehingga mewujudkan persekitaran kerja tidak sihat," katanya dalam satu kenyataan.
Tesla turut mengeluarkan kenyataan pada Rabu, menyifatkan langkah DFEH tidak adil dan tidak produktif, terutama hanya menumpukan dakwaan salah laku yang berlaku antara 2015 hingga 2019 dan tidak pernah membangkitkan isu persekitaran di tempat kerja dalam tempoh tiga tahun terkini.
"Sejak lima tahun lalu, DFEH mengambil keterangan hampir 50 individu yang percaya mereka didiskriminasi atau diganggu di tempat kerja. Apabila DFEH menutup siasatan, agensi itu tidak menemui sebarang salah laku terhadap Tesla, "menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA