Isu dinasti politik Jokowi jadi tumpuan Pemilu 2024 - Penganalisis
Irfan Faruqi
Februari 8, 2024 21:45 MYT
Februari 8, 2024 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Isu dinasti politik yang dilihat cuba diusahakan oleh Presiden Joko Widodo terus menjadi tumpuan dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2024.
Pengasas Lembaga Survei KedaiKOPI, Hendri Santrio berkata pendirian mengenai isu ini terpecah kepada dua iaitu sama ada mengekalkan kecemerlangan pemerintahan 10 tahun lalu atau memperbaharui pola pemerintahan dengan wajah baharu.
“Politik dinasti terus dibincangkan. Antara lain pandangan yang menyatakan bahawa isu keserakahan (kuasa) ini tidak wajar menjadi alasan menjadi penghalang untuk rakyat membuat pemilihan.
“Idea menukarkan pola kepimpinan yang terkait dengan dinasti Joko Widodo (Jokowi) ini dikongsikan oleh Calon 01 (Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar) dan Calon 03 (Ganjar Pranowo-Mahfud MD).
“Jangan diteruskan pemerintahan (Jokowi) selepas 10 tahun melalui anaknya (Gibran),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Hendri menjelaskan, terdapat beberapa cubaan untuk Jokowi mengekalkan kuasa dan pengaruhnya dalam pemerintahan Kerajaan Pusat Indonesia, sama ada secara langsung atau melalui proksi.
“Di Indonesia, kita sebut sebagai usaha meneruskan penggal ketiga Joko Widodo (Jokowi). Namun pencalonan Jokowi melalui Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) tidak direstui oleh Megawati Sukarnoputri.
“Kemudian, cara lain yang digunakan (Jokowi) untuk mengekalkan kuasa ialah dengan meletakkan anaknya (Gibran Rakabuming) sebagai calon wakil presiden (Cawapres) bersama calon presiden (Capres) Prabowo; yang kalah dua kali kepada Jokowi,” ujarnya.
Selain isu politik dinasti ini, isu lain yang turut menjadi tumpuan adalah mengenai kebimbangan pertembungan dua kuasa politik besar di Indonesia; pro-Jokowi dan anti-Jokowi, yang boleh mencetus ketidakstabilan seperti yang berlaku di Filipina yang menyaksikan pertembungan Presiden semasa Ferdinand (Bongbong) Marcos Jr. dan bekas Presiden, Rodrigo Duterte.
Tambahnya lagi, isu keperluan asasi rakyat juga sering dibangkitkan di samping perihal korupsi yang mewarnai kempen Pemilu yang berlangsung.
Hari pengundian bagi Pemilu 2024 ditetapkan pada 14 Februari, manakala pengundian awal bagi rakyat Indonesia ditetapkan pada 11 Februari, termasuk di Malaysia.