Isu di Laut China Selatan perlu diselesai menerusi dialog dan rundingan
Syafik Shukri Jalil
Julai 26, 2024 19:27 MYT
Julai 26, 2024 19:27 MYT
VIENTIANE: Sebarang isu yang berbangkit melibatkan Laut China Selatan perlu diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang berterusan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ujarnya, langkah-langkah ini telah dipersetujui kesemua Menteri-Menteri Luar ASEAN menerusi mesyuarat tertutup bersama Menteri Luar China, Wang Yi, di Vientiane, Laos pada Jumaat.
“Secara keseluruhannya semua negara-negara mengatakan bahawa Laut China Selatan mestilah bebas daripada bentuk penguasaan sesiapa terutamanya laluan antarabangsa bebas digunakan semua pihak.
“Ini merupakan perkara pokok yang dibincangkan, semua negara menyatakan sebarang bentuk apa-apa jua isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibuat secara rundingan.
“Kita mesti mempunyai cara untuk berdialog dan bersama-sama supaya pendekatan ASEAN itu sebagai satu suara tentang isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan beberapa pertemuan bilateral bersama rakan dialog ASEAN antaranya Australia, India dan Turkiye.
Selain itu, Mohamad berkata Malaysia turut memainkan peranan sebagai negara koordinator dengan China bagi sebarang isu yang berbangkit mengenai Laut China Selatan.
Untuk itu, kedua-dua pihak akan memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) berkaitan wilayah yang menjadi pertikaian beberapa negara itu.
Kod tatacara itu adalah bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan dan ia juga dilakukan tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara terlibat.
“Malaysia sekarang telah mula mengambil alih sebagai negara koordinator dengan China terutama dalam kita memuktamadkan document of conduct supaya ia menjadi dokumen yang diterima pakai semua pihak terutama berkaitan Laut China Selatan.
“China melihat semua negara ASEAN terutama dalam isu Laut China Selatan ini sebagai satu perkara yang amat penting dan perlu diselesaikan melalui rundingan dan secara dialog.
“Kita selaku negara koordinator dengan China akan pergiatkan dan perbanyakkan rundingan-rundingan dengan rakan rakan Asean supaya kekeliruan atau sebarang isu berkaitan tuntutan di Laut China Selatan dapat diselesaikan dengan cara terbaik,” tambahnya lagi.