Isu Boris Johnson: Ahli Parlimen Britain desak Laporan Gray didedahkan
Bernama
Januari 30, 2022 21:33 MYT
Januari 30, 2022 21:33 MYT
LONDON: Ahli Parlimen Britain pelbagai parti politik pada Sabtu menuntut hasil siasatan Laporan Gray berhubung majlis meraikan hari jadi Perdana Menteri Boris Johnson di Downing Street dalam tempoh larangan perhimpunan orang ramai diterbitkan dengan penuh.
Tuntutan dibuat berikutan kegusaran maklumat penting berhubung kejadian itu cuba dirahsiakan.
Ahli Parlimen parti Conservatif (Tory), Christopher Chope juga menuduh Polis Metropolitan yang menganggotai siasatan jenayah terhadap Perdana Menteri Boris Johnson, menyalahgunakan kuasa selepas meminta maklumat laporan itu disunting sementara menunggu hasil siasatan, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Saya tidak fikir ia adalah urusan mereka. Ini adalah siasatan Pejabat Kabinet dan keputusan telah disimpulkan, dan ia telah dikongsi - saya tidak tahu mengapa - dengan polis Metropolitan," katanya dalam temu bual dengan program BBC Radio 4's Today pada Sabtu .
"Polis Metropolitan nampaknya mencampuri urusan berhubung isi kandungan laporan dan cuba menghalangnya daripada diterbitkan dalam bentuk tidak disunting.
"Di bawah undang-undang yang terpakai di negara kita, ia bukan sub judice (kerana bukan kes dalam pertimbangan mahkamah) ... saya rasa polis Metropolitan menyalahgunakan kuasa dalam hal ini," tambah Chope.
Adam Holloway, seorang lagi ahli Parlimen Tory, juga menuntut penerbitan penuh dan tidak berat sebelah hasil siasatan itu.
Holloway berkata kelewatan dalam mendedahkan laporan itu akan membawa kepada lebih banyak spekulasi tidak berasas oleh media dan hanya akan memberi gambaran buruk terhadap perdana menteri.
Holloway, bagaimanapun, mempertahankan Johnson, dan percaya dakwaan perdana menteri bahawa beliau tidak tahu acara yang dihadirinya adalah majlis keraian (parti).
"Hakikatnya kami tidak dapat pandangan keseluruhan melainkan apa yang dilaporkan media, dan itulah sebab saya - dan mungkin juga Boris - ingin melihat keseluruhan laporan Sue Gray dan secepat mungkin menamatkan kegilaan ini," kata Holloway pada program itu.
Kemarahan tercetus selepas pasukan polis UK menuntut maklumat berhubung kes itu dikeluarkan daripada laporan sementara siasatan masih dijalankan.
Ahli Parlimen parti pembangkang iaitu Parti Buruh serta Parti Liberal Demokrat dan Parti Kebangsaan Scotland juga telah meminta penerbitan laporan penuh dan telus tanpa sebarang suntingan.
-- BERNAMA