Isu alam sekitar dominasi senarai 10 Risiko Global 2022 - WEF
Astro Awani
Januari 12, 2022 11:53 MYT
Januari 12, 2022 11:53 MYT
DUA tahun selepas kes pertama COVID-19, kebanyakan negara melaporkan peningkatan kes jangkitan akibat penularan varian Omicron.
Namun, impak akibat pandemik itu dilihat semakin reda berbanding risiko jangka panjang yang dihadapi dunia akibat perubahan iklim.
Pandangan ini disuarakan hampir 1,000 pakar risiko dan pemimpin global dalam industri perniagaan, kerajaan dan masyarakat sivil menerusi Laporan Risiko Global yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022.
Kegagalan terhadap tindakan iklim, cuaca ekstrem, dan kehilangan biodiversiti serta keruntuhan ekosistem dianggap antara tiga masalah utama daripada 10 risiko global mengikut tahap keterukan dalam tempoh 10 tahun akan datang dalam Tinjauan Persepsi Risiko Global (GRPS) tahunan.
Berikut 10 Risiko Global mengikut Tahap Keterukan:
1. Kegagalan tindakan berkaitan iklim
2. Cuaca ekstrem
3. Kehilangan biodiversiti
4. Hakisan perpaduan sosial
5. Krisis kehidupan
6. Penyakit berjangkit
7. Kerosakan persekitaran manusia
8. Krisis sumber alam
9. Krisis hutang
10. Konfrontasi geoekonomi
Secara keseluruhannya, lebih separuh daripada 10 risiko global yang disenaraikan itu membabitkan isu alam sekitar.
Kegagalan tindakan berkaitan iklim juga dianggap ancaman paling kritikal kepada dunia dalam jangka sederhana (2-5 tahun) dan jangka panjang (5-10 tahun), dengan potensi paling tinggi untuk merosakkan masyarakat, ekonomi dan planet dengan teruk.
Kebanyakan responden kajian tersebut percaya tiada usaha setimpal sedang dilakukan.
Lebih 77 peratus berpendapat usaha mitigasi antarabangsa untuk perubahan iklim masih “belum bermula” atau hanya pada “tahap awal”.
Berikut ialah senarai risiko global bagi jangka masa sederhana:
1. Kegagalan tindakan iklim
2. Cuaca ekstrem
3. Hakisan perpaduan sosial
4. Krisis kehidupan
5. Krisis hutan
6. Kerosakan suasana kehidupan
7. Konfrontasi geoekonomi
8. Kegagalan keselamatan siber
9. Kehilangan biodiversiti
10. Kehilangan aset
Bagi tempoh dua tahun akan datang, pakar risiko dan golongan pemimpin berpendapat hakisan perpaduan sosial, kemerosotan kesihatan mental, penyakit berjangkit dan krisis kehidupan adalah sama risikonya terhadap ancaman alam sekitar.
Ancaman alam sekitar, seperti semua sedia maklum, adalah krisis jangka masa panjang yang berterusan.
Manakala risiko global bagi jangka masa panjang merangkumi:
1. Kegagalan tindakan iklim
2. Cuaca ekstrem
3. Kehilangan biodiversiti
4. Krisis alam sekitar
5. Kerosakan suasana kehidupan
6. Hakisan perpaduan sosial
7. Migrasi secara tidak sukarela
8. Kemajuan teknologi yang bahaya
9. Konfrontasi geoekonomi
10. Persaingan sumber geopolitik
Manakala lima risiko jangka panjang teratas didominasi oleh isu berkaitan alam sekitar.
Namun walaupun dengan ramalan yang suram itu, pastinya ada sesuatu yang positif pada Laporan Risiko Global 2022.
Ia termasuk pemahaman daya tahan akibat pandemik COVID-19, nasihat dalam kerjasama isu angkasa lepas, daya tahan siber yang lebih mantap, dan peralihan iklim yang lebih teratur.
Langkah menangani peralihan iklim yang paling tidak mengganggu ialah yang menyatukan keperluan individu, masyarakat, perniagaan dan planet secara holistik, menurut laporan itu.