Isu Ahok: Media Malaysia, antarabangsa suarakan kebimbangan

Astro Awani
Mei 11, 2017 14:18 MYT
Media antarabangsa termasuk media Malaysia beri sentimen negatif ke atas keputusan mahkamah Indonesia yang memutuskan Ahok bersalah atas tuduhan menghina Islam. -Gambar fail
Media antarabangsa termasuk media Malaysia beri sentimen negatif ke atas keputusan mahkamah Indonesia yang memutuskan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, atau lebih dikenali sebagai Ahok, bersalah atas tuduhan menghina agama Islam.
Data persepsi ini merupakan hasil tinjauan oleh Indonesia Indicator melibatkan 128 laporan daripada 78 media berbahasa Inggeris di Asia, Amerika Syarikat, UK, Australia dan New Zealand.
“Mereka (media Malaysia) memberikan 66 peratus sentimen negatif dan 20 peratus positif. Ini kerana media di Malaysia lebih banyak melaporkan berita ini dengan judul "Hina Islam, Ahok dipenjara".
“Sementara sentimen positif digambarkan melalui pemberitaan yang mengandungi sokongan kepada Ahok oleh penyokongnya di Dewan Bandaraya,” jelas Pengarah Komunikasi Indonesia Indikator, Rustika Herlambang.
Pengguna media sosial di Indonesia turut menyatakan sentimen negatif atas keputusan tersebut.
Imej Indonesia sebagai negara yang rencam dengan pelbagai latar budaya dan agama dipersoal media antarabangsa selepas keputusan oleh Mahkamah Indonesia itu.
Hukuman ini memberi indikasi bahawa masyarakat Indonesia semakin menjadi konservatif, lapor Financial Times.
Ahok semasa kempen pemilihan gabenor Jakarta tahun lalu berkata ada segelintir ulama yang menyalah tafsir Al- Quran.
Rakaman ucapan itu tular di internet lalu membangkitkan kemarahan serta protes besar-besaran oleh kumpulan konservatif Islam.
#ahok #basuki tjahaja purnama #Gabenor Jakarta #hina Islam #media antarabangsa #media Malaysia #sentimen negatif
;