Istiadat Perkahwinan Diraja: Puteri Sultan Brunei sah bergelar isteri Awang Abdullah Nabil

Rahimah Abdullah
Januari 20, 2022 16:57 MYT
Dengan sekali lafaz, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah bergelar isteri kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dalam majlis yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. - Foto ihsan JAPEN Brunei
KUALA LUMPUR : Puteri kedua bongsu Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama Puan Hajah Mariam, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangan pilihan, Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi pada petang Khamis dalam Istiadat Nikah Diraja Brunei.
Dengan sekali lafaz, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah bergelar isteri kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dalam majlis yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Majlis penuh sejarah itu turut disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui platform digital dan elektronik.
BACA: Ini tentatif 10 hari Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei yang penuh tradisi
Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei itu berlangsung selama 10 hari dengan dimulai Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada Ahad lalu di Istana Nurul Iman.
Pasangan mempelai diraja itu ditunangkan pada Selasa lalu, dalam Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja.
Selepas majlis akad nikah, ia akan diteruskan dengan istiadat bersanding pengantin diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada Ahad ini.
Ia kemudian diteruskan dengan Majlis Persantapan Diraja dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Darussidiq, Jerudong.
Majlis diakhiri pada Selasa depan dengan Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Istiadat Nikah Diraja | Puteri Sultan Brunei selamat bergelar isteri
#Istiadat Nikah Diraja Brunei #Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah #Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi #pasangan diraja
;