Istiadat penghormatan terakhir mendiang Ratu Elizabeth II bermula
Harits Asyraf Hasnan
September 11, 2022 09:10 MYT
September 11, 2022 09:10 MYT
LONDON: Istiadat penghormatan terakhir mendiang Ratu Elizabeth II akan berlangsung bermula Ahad sebelum upcara pengebumian baginda di Westminster Abbey pada Isnin, 19 September depan.
Orang ramai akan dibenarkan untuk melakukan penghormatan terakhir pada masa itu.
Jenazah mendiang Ratu akan bersemayam di St Giles Cathedral Edinburgh, selama 24 jam mulai Isnin 12 September, dengan orang ramai boleh memberi penghormatan.
Perjalanan terakhir Ratu akan bermula pada hari Ahad, dengan keranda yang diperbuat daripada kayu oak dibawa oleh penjaganya dari Balmoral ke Edinburgh.
Ia akan dipandu secara perlahan ke Istana Holyroodhouse pada jam 4 petang waktu tempatan.
Pada petang Isnin, ia akan diiring ke Katedral St Giles, Edinburgh, bersama ahli Keluarga Diraja dan bersemayan selama 24 jam.
Keesokan harinya (Selasa), Puteri Anne akan mengiringi jenazah ibunya ketika diterbangkan pulang ke London.
Keranda Ratu akan dibawa dari Lapangan Terbang Edinburgh ke Istana Buckingham melalui RAF Northolt.
Pada petang Rabu, ia akan dibawa ke Westminster Hall dan dijangka tiba pada jam 3 petang waktu tempatan.
Di situ, baginda Ratu akan bersemayam selama empat hari sebelum berlangsungnya Istiadat Pengebumian Negara yang dijadual pada Isnin, 19 September.
Turut dijadual adalah perarakan dari London ke Istana Windsor di mana jenazah Ratu akan dikebumikan di Gereja Memorial King George VI di Windsor.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan tempoh berkabung akan berlangsung sehingga hari pengebumian negara.
Keluarga Diraja akan menyambung tempoh berkabung selama tujuh hari selepas itu.