Istiadat pemakaman Putera Philip pada 17 April

Astro Awani
April 11, 2021 09:15 MYT
Istiadat pemakaman Putera Philip telah ditetapkan pada Sabtu, 17 April ini.
LONDON: Istiadat pemakaman Duke of Edinburgh Putera Philip telah ditetapkan pada Sabtu, 17 April.
Kenyataan rasmi daripada Istana Windsor memaklumkan upacara pengebumian akan dilakukan di St George Chapel di Istana Windsor pada jam 3 petang (waktu tempatan) dan akan disiarkan secara langsung.
BACA: Pemergian Putera Philip: YDP Agong, Permaisuri rakam ucapan takziah
BACA: Pemergian Putera Philip: Muhyiddin zahir ucapan takziah
Ia akan dikenali sebagai upacara pemakaman diraja dan bukan pemakaman negara yang biasanya diperuntukkan untuk golongan diraja, lapor People.
BACA: Tiada upacara pengebumian negara untuk Putera Philip
"Acara ini masih meraikan kehidupan Duke dan khidmatnya selama lebih dari 70 tahun kepada Ratu, UK dan Komanwel,"
"Istiadat pemakaman akan turut mengambil kira garis panduan COVID-19 di mana majlis diadakan tanpa kehadiran orang awam," kata jurucakap istana.
Upacara pengebumian akan dilakukan sepenuhnya di kawasan istana setelah mendapat persetujuan akhir daripada Ratu Elizabeth II.
Mengikut jadual pada hari pemakaman, keranda akan dipindahkan sekitar jam 2.40 petang (waktu tempatan) dalam satu perarakan kecil dari pintu masuk negara ke istana sebelum tiba di St George Chapel.
Istiadat akan dimulakan dengan hadirin berdiam diri selama seminit pada jam 10 pagi (waktu tempatan).
"Walaupun sewajarnya ini adalah detik kesedihan dan perkabungan bagi keluarga diraja dan orang kebanyakan yang mengenali dan mengagumi Duke of Edinburgh, diharapkan hari-hari mendatang dapat dilihat sebagai kesempatan untuk meraikan satu kehidupan yang luar biasa: Luar biasa dari segi sumbangan besarnya dan warisan abadi, "kata jurucakap Istana Buckingham.
[INFOGRAFIK] Putera Philip, Duke Edinburgh
Pegawai istana bagaimanapun tidak menyatakan lokasi sebenar makam Putera Philip, namun mendiang akan dikebumikan dahulu di St George Chapel.
Keranda akan dibawa menaiki Land Rover yang diubah suai sendiri oleh mendiang.
Topi dan pedang tentera laut mendiang akan diletakkan di atas keranda yang dihiasi kalungan bunga.
Jumlah tetamu dihadkan kepada hanya 30 orang, tidak termasuk petugas dan pendeta, yang akan diketuai oleh Dean of Windsor, David Conner dan Uskup Agung Canterbury, Justin Welby.
Pihak istana turut berharap agar orang ramai tidak berkumpul di Istana Windsor untuk meletakkan bunga atau memberi penghormatan pada hari tersebut, sebaliknya menonton istiadat pemakaman di televisyen.
#istiadat pemakaman #Putera Philip #Istana Windsor #Istana Buckingham #Justin Welby #David Conner #Duke of Edinburgh #COVID-19 #St George Chapel
;