Isteri pemimpin Syria yang digulingkan dilapor hidap leukemia kronik
Bernama
Disember 26, 2024 17:20 MYT
Disember 26, 2024 17:20 MYT
LONDON: Asma al-Assad, isteri pemimpin Syria Bashar al-Assad yang digulingkan, menghidap leukemia kronik dan hanya mempunyai peluang hidup 50 peratus, lapor PA Media/dpa news memetik laporan media.
Ringkasan AI
- Asma al-Assad, isteri bekas pemimpin Syria Bashar al-Assad, menghidap leukemia kronik dengan peluang hidup 50 peratus. Beliau sedang diasingkan untuk mencegah jangkitan dan dijaga oleh bapanya di Moscow.
- Keluarga al-Assad melarikan diri ke Moscow selepas serangan pemberontak di Damsyik. Asma al-Assad dilaporkan mahu bercerai dan mendapatkan rawatan di London, tetapi Kremlin menafikan perkara itu.
- David Lammy, setiausaha luar Britain, menyatakan Asma al-Assad tidak dialu-alukan kembali ke UK kerana sekatan yang dikenakan ke atasnya. Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kewarganegaraan UK beliau boleh dilucutkan.
Asma al-Assad sedang diasingkan untuk mencegah jangkitan dan tidak boleh berada di dalam bilik yang sama dengan individu lain, lapor akhbar Telegraph.
Keluarga al-Assad melarikan diri ke Moscow setelah serangan kilat pemberontak di ibu negara Syria, Damsyik awal bulan ini.
Asma al-Assad yang dilahirkan di Britain bersama anak-anaknya berlepas ke Rusia lebih awal sebelum bekas presiden itu, dan beliau kini dilaporkan dijaga oleh bapanya Fawaz Akhras, seorang pakar kardiologi terkenal di Harley Street.
Presiden Syria mengumumkan pada Mei bahawa Asma al-Assad, wanita pertama ketika itu, didiagnosis leukemia akut, sejenis kanser sumsum tulang dan darah.
Beliau sebelum ini dirawat kerana kanser payudara dan pada 2019 mengumumkan bebas daripada penyakit itu selepas setahun rawatan.
The Telegraph melaporkan leukemianya dipercayai muncul semula selepas tempoh remisi.
Laporan sebelum ini menyatakan Asma al-Assad bosan dengan sekatan yang dikenakan ke atasnya di Rusia, dan mahu bercerai daripada suaminya dan mendapatkan rawatan di London.
Kremlin telah menafikan perkara itu, walaupun keluarga al-Assad tidak mengulas.
David Lammy, setiausaha luar Britain, berkata Asma al-Assad - dilahirkan di London pada 1975 - tidak dialu-alukan untuk kembali ke UK.
"Saya telah melihat beberapa laporan kebelakangan ini mengenai Asma al-Assad, seseorang yang mungkin memiliki kewarganegaraan UK yang mungkin cuba masuk ke negara kita, dan saya mahu menegaskan bahawa beliau adalah individu yang dikenakan sekatan dan tidak dialu-alukan di sini di UK," katanya kepada Commons berikutan kejatuhan rejim al-Assad.
Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata masih "terlalu awal" untuk mengatakan sama ada Asma al-Assad, dua kewarganegaraan Britain-Syria, boleh dilucutkan kewarganegaraan UK.
Pegawai kanan Britain baru-baru ini pergi ke Damsyik untuk bertemu dengan wakil rejim Syria yang baharu, yang diketuai oleh kumpulan Islam bernama Hayat Tahrir al-Sham.
Pejabat Luar Negeri telah dihubungi untuk mendapatkan komen.
-- BERNAMA