Isteri melecur teruk, ibu mentua dan anak pula rentung

Agensi
September 13, 2020 06:27 MYT
Wyatt dan neneknya, Peggy Mosso, antara yang maut dalam kebakaran besar itu. -Foto/Twitter/Brian Kosh
Chris Tofte tekad memandu kereta meredah api yang marak di sekelilingnya demi mencari isteri, anak dan ibu mentuanya.
Dengan penglihatan yang terhad dek kepulan asap, kenderaan yang dipandu hampir melanggar seorang wanita dengan kesan melecur teruk yang terbaring di tengah jalan.
Sebaik sahaja wanita itu dibawa masuk ke dalam kereta, Chris memberitahu dia tiada pilihan selain terus mencari anak dan isterinya Angie.
"Saya isteri awak," itu yang keluar daripada mulut wanita itu.
Selama 24 tahun hidup bersama sebagai suami isteri, Chris langsung tidak dapat mengecam wanita itu.
Anak lelaki mereka, Wyatt, yang berusia 13 tahun kemudian ditemui mati, berlindung dalam sebuah kereta berhampiran rumah mereka, dengan anjing peliharaan mereka di ribaannya.
Keluarga itu percaya Wyatt terperangkap ketika cuba membantu neneknya yang tidak boleh berjalan.
Kisah mengerikan keluarga Tofte dilaporkan oleh Salem Statesman Journal.
Sebuah dana GoFundMe ditubuhkan orang ramai yang prihatin dan simpati dengan nasib mereka, dan mahu membantu kos perubatan isteri Chris.
Ia antara kisah penderitaan yang dihadapi mangsa kebakaran besar di Oregon, California dan Washington.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 25 orang maut manakala masih ramai yang hilang dalam kebakaran itu yang memusnahkan hampir lima juta ekar kawasan di tiga negeri terbabit.
#API #California #Chris Tofte #kebakaran #keluarga #mangsa #mangsa kebakaran #Oregon #Washington #Wyatt Tofte
;