Isteri larang suami ambil minuman keras mati dipenggal
Agensi
November 13, 2019 14:20 MYT
November 13, 2019 14:20 MYT
Hanya kerana diminta berhenti mengambil minuman keras, seorang suami hilang kewarasan sehingga sanggup memenggal kepala isterinya dalam kejadian di Etmadudaula, Agra, India pada Sabtu.
Suspek bernama Naresh itu dengan beraninya membawa kepala isterinya ke balai polis untuk menyerah diri, lapor Gulf News.
Lelaki yang bekerja sebagai pembaik televisyen itu mengakui memenggal kepala isterinya.
Perkahwinan Naresh dengan mangsa, Shanti selama 17 tahun dikurniakan empat orang anak.
Naresh yang terkenal sebagai seorang kaki botol sering bertengkar dengan isterinya terutama ketika mabuk.
Pada hari kejadian di rumah mereka, Naresh mabuk teruk sebelum isterinya meminta dia berhenti mengambil minuman keras dan nasihat itu membangkitkan kemarahannya.
Akibat berang, Naresh mengambil sebilah parang lantas memenggal kepala isterinya sebelum mayat Shanti diletakkan di dalam sebuah bilik dan dikunci.
Ketiadaan Shanti membuatkan empat cahaya mata pasangan itu bingung sebaik menyedari ‘kehilangan’ ibu mereka sebelum anak sulung pasangan terkejut melihat mayat wanita itu terbaring kaku.
Keadaan menjadi kecoh dan mereka melaporkan kejadian kepada polis, namun Naresh terlebih dahulu menyerah diri.
Naresh bagaimanapun menolak pertuduhan dia membunuh isterinya kerana berada dalam keadaan mabuk, tetapi sebaliknya menyatakan isterinya itu curang kepadanya.