Isteri calon gandingan Trump letak jawatan di firma guaman

Bernama
Julai 16, 2024 13:11 MYT
Calon Naib Presiden Republikan, JD Vance, dan isterinya Usha Vance sewaktu menghadiri KOnvensyen Nasional Republikan 2024 di Milwaukee, pada Isnin. - AP
MOSCOW: Usha Vance, isteri kepada Senator J.D. Vance yang dipilih sebagai calon gandingan bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump awal minggu ini, telah meletakkan jawatannya di sebuah firma guaman, lapor Sputnik memetik akhbar San Francisco Chronicle.
Trump pada Isnin mengumumkan Vance sebagai gandingan baharunya bagi pilihan raya presiden AS 2024. Jika Trump memenangi pemilihan itu, Vance akan menjadi naib presiden Amerika.
"Usha telah memaklumkan kepada kami bahawa beliau telah memutuskan untuk meninggalkan firma ini," kata jurucakap firma Munger, Tolles dan Olson yang berpangkalan di San Francisco dalam satu kenyataan sambil mengucapkan terima kasih atas komitmen beliau dan mendoakan "yang terbaik dalam kerjaya masa depannya".
Vance dikenali kerana mengkritik bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar AS kepada Ukraine dan menggesa rundingan dengan Rusia. Beliau juga mendesak kerajaan AS untuk mengalihkan perhatian kepada persaingan dengan China. Mengenai politik tempatan, beliau menentang pengguguran kandungan dan mengetatkan undang-undang imigresen.
Pilihan raya presiden AS dijadualkan pada 5 November dengan Demokrat dijangka menampilkan Presiden Joe Biden manakala Trump sebagai calon mewakili Republikan.
-- BERNAMA
#usha vance #JD Vance #calon gandingan #Donald Trump #pilihan raya presiden #Amerika Syarikat