Isteri bunuh diri kerana ditegur ketagih media sosial oleh suami
Kohilah Sekaran
Oktober 14, 2015 13:44 MYT
Oktober 14, 2015 13:44 MYT
Seorang wanita yang didakwa ketagih menggunakan media sosial dilaporkan bertindak membunuh dirinya selepas suaminya dikatakan menegur sikap obses wanita terbabit terhadap media arus baru itu.
Memetik laporan India Times, wanita yang baru berkahwin itu sering dimarahi oleh suaminya kerana sentiasa ketagih menggunakan laman sosial seperti WhatsApp dan Facebook.
Menurut pihak polis, Aparna, 22 dari Kerala dikatakan seorang pengamal media sosial yang akif sehingga menghabiskan banyak masa di media sosial.
Serik dengan perbuatan itu, suaminya, Kumar yang merupakan seorang pemandu lori bertindak merampas telefon bimbitnya sebagai satu pengajaran.
Kecewa dengan tindakan suaminya, wanita berkenaan kemudian menelefon abangnya dengan telefon bimbit yang lain untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Dia kemudian dilapor mengunci dirinya di dalam bilik tidur dan tidak mengendahkan rayuan daripada ahli keluarga untuk membuka pintu tersebut.
Kumar kemudian mendapati isterinya mati tergantung pada siling dalam bilik tidur di rumah mereka.
Walaupun Arpana dikejar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan, namun tidak sempat untuk menyelamatkannya.
Bagaimanapun, pihak polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.