Israel umum jalin hubungan diplomatik rasmi dengan UAE

Agensi
Ogos 25, 2020 05:31 MYT
Israel umum menyertai Penasihat Rumah Putih di UEA untuk memulakan usahasama perjanjian selain menjalin hubungan diplomatik secara rasmi. - Foto REUTERS/Sebastian Scheiner
Israel umum akan menyertai Penasihat Rumah Putih, Jared Kushner di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memulakan perjanjian usahasama selain menjalin hubungan diplomatik secara rasmi.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa.
Beliau berkata Penasihat Keselamatan Negara, Meir Ben Shabbat akan mengetuai delegasi berkenaan.
"Penerbangan langsung yang pertama seumpamanya yang diterajui syarikat penerbangan Israel, El-Al ke negara Arab Teluk dan ia merupakan petanda penting dalam proses memeterai perjanjian pada 13 Ogos lalu di antara Israel dan UAE.
"Sebahagian wakil kerajaan Israel juga akan dihantar untuk menyertai delegasi itu termasuk Pengarah Kementerian Luar dan Pertahanan dan pihak berkuasa penerbangan nasional," katanya dalam sidang media yang dipetik laporan AP.
Mengulas lanjut, Netanyahu berkata perbincangan itu akan merujuk kepada 'perdamaian dan normalisasi' dengan UAE.
"Ini adalah perjanjian bersejarah dan ia sekali gus akan membawa kepada pertumbuhan selain dapat membantu mewujudkan kemakmuran ekonomi khususnya dalam krisis COVID-19," katanya.
Beliau juga berhasrat agar rakyatnya segera untuk mengunjungi Dubai dan Abu Dhabi.
Penerbangan UAE-Israel juga menunjukkan sokongan Arab Saudi terhadap perjanjian itu.
Arab Saudi sebelum ini memberi bayangan untuk menyokong cadangan itu, namun belum memutuskan untuk membenarkan kedua-dua negara berkenaan menggunakan ruang udara untuk penerbangan langsung.
Tanpa persetujuan Arab Saudi, penerbangan mungkin akan melakukan pusingan yang jauh dan berpotensi berisiko di sekitar Yaman melalui Teluk Parsi.
#Arab Saudi #Benjamin Netanyahu #COVID-19 #Dubai #ekonomi #Israel #Jared Kushner #Kementerian Luar #koronavirus #Meir Ben Shabbat #perjanjian usahasama #UAE
;