'Israel tidak tahu malu' - Pemimpin kanan Hamas
Astro Awani
Mei 27, 2024 07:40 MYT
Mei 27, 2024 07:40 MYT
BEIRUT: Serangan rejim Zionis ke atas Rafah pada Ahad lalu jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu ingkar keputusan mahkamah dunia.
Menurut pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan, dakwaan yang dibuat rejim terkutuk itu mengenai lelaki bersenjata yang kononnya berada di lokasi serangan di Rafah adalah "tidak tahu malu".
“Masa melakukan pembunuhan beramai-ramai ini dalam tempoh dua hari lalu dianggap sebagai penentangan oleh kerajaan ‘Zionazi’ penjenayah (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mengarahkan operasi ketenteraan dihentikan di bandar Rafah.
"Ini meletakkan dunia dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab untuk menamatkan keangkuhan Zionis ini dan menghentikan pencerobohan dilakukan entiti ini," katanya.
Serangan udara rejim Israel mencetuskan kebakaran dan runtuhan bangunan sehingga mengorbankan 45 nyawa tidak berdosa.
Perkara itu turut mendapat bantahan daripada pemimpin global yang menggesa pelaksanaan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikan serangan Israel.
Tentera Israel, yang kononnya cuba menghapuskan Hamas di Gaza, berkata ia sedang menyiasat laporan bahawa serangan yang dilakukannya terhadap komander pasukan pejuang Hamas di Rafah telah menyebabkan kebakaran.